HomeUtamaKerjasama Sabah Ports, DP World bawa impak positif

Kerjasama Sabah Ports, DP World bawa impak positif

Read Time:1 Minute, 32 Second

Kota Kinabalu : Kerjasama strategik antara Sabah Ports Sdn. Bhd. dan DP World mampu membawa impak positif terhadap ekonomi dan sosio-ekonomi Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, kerjasama dengan DP World merupakan sinergi kepakaran, pengalaman dan visi bersama dalam usaha untuk mencapai masa depan yang sejahtera.

“Dalam mengejar rakan kongsi global yang bersesuaian dengan aspirasi kami, DP World muncul sebagai rakan kongsi pilihan.

“Kita percaya dengan capaian global DP World dan lokasi strategik dapat menjadikan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SPCB) hab yang bukan sahaja memberi perkhidmatan kepada rantau terdekat tetapi juga memainkan peranan utama dalam rangkaian maritim global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik Sabah Ports Sdn. Bhd. dan DP World di sini, semalam.

Shahelmey berkata, kerjasama itu akan memberikan kesan yang positif kepada ekonomi, sosio-ekonomi dan bukan sahaja membetulkan ketidakseimbangan perdagangan dan mengurangkan kos logistik, tetapi juga meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah.

“Kita yakin kerjasama dengan DP World dapat membuka peluang baru, menyambut era pertumbuhan serta kejayaan yang belum pernah tercapai untuk Sabah dan generasi akan datang,” katanya

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan DP World, Sultan Ahmed Sulayem berkata, perbincangan kerjasama berkenaan telah berjalan selama beberapa tahun dan beliau berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dalam pembangunan pelabuhan di Sabah.

Ahmed berkata, selain perancangan untuk meningkatkan kapasiti pelabuhan, DP World juga mempunyai pelbagai pelan antaranya menaik taraf infrastruktur, teknologi, perkhidmatan pelanggan dan peluang perdagangan mesra alam.

Dalam majlis berkenaan, Sabah Ports Sdn. Bhd. diwakili Pengerusinya, Datuk Faisyal Yusuf Hamdain Diego dan Pengarah Urusan, Datuk Ng Kiat Min manakala DP World diwakili  Ahmed dan Pengarah Urusan DP World Asia Pacific, Glen Hilton.

Hadir sama, Pengerusi Qhazanah Sdn. Bhd., Datuk Dr. Yusof Yacob, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Hanafiah Abdul Kassim dan Pengerusi Sabah Ports Authority, Datuk Mohd Jasmin Julpin.

RELATED ARTICLES
Utama

Had laju diubah, kurangkan risiko kemalangan di Jalan Lintas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya