Kota Kinabalu : Isu kebersihan kantin sekolah perlu diambil perhatian sewajarnya khususnya kepada pengusaha kantin dan pengurusan sekolah yang terlibat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya memandang serius isu kebersihan kantin di sebuah sekolah menengah di bandar raya ini yang tular baru-baru ini.
“Saya ada membaca isu ini di media sosial dan saya akan panggil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) untuk mendapat maklumat sebenar berhubung dengan isu in.
“Kita akan cari jalan macamana untuk menyelesaikannya. Isu ini sangat dekat dihati rakyat dan masyarakat khususnya ibu bapa kerana ia berhubung anak-anak, saya akan dapatkan maklumat segera mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) 2024, di sini, hari ini.
Arifin yang juga Exco Pendidikan Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas hantaran tular di laman sosial TikTok berkaitan pengusaha kantin sebuah sekolah menengah yang didakwa tidak mengamalkan penjagaan kebersihan ketika menyediakan makanan.
Terdahulu, Arifin yang juga Presiden PMBS berkata, pemimpin dan ahli persatuan itu diseru untuk memainkan peranan sebagai pemudahcara kepada kerajaan.
Katanya, setiap ahli PMBS perlu menjadikan persatuan tersebut sebagai wadah bagi membantu kerajaan dalam menyebar luas pelbagai inisiatif kerajaan kepada komuniti setempat.
“Pemimpin dan ahli PMBS perlu menjadi pemudah cara kepada kerajaan dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat.
“Misalnya inisiatif dari sudut pendidikan, kerajaan telah menyediakan pelbagai inisiatif kepada anak-anak kita, jadi kita harus menjadi pemberi maklumat kerana kadang-kadang ada masyarakat tidak tahu.
“Oleh itu, pemimpin persatuan dari cawangan masing-masing perlu memainkan peranan untuk memaklumkan kepada ahli mereka, jiran dan komuniti setempat bahawa kerajaan ada menyediakan peruntukan atau bantuan seumpama ini selain memperkasa bangsa dari sudut perpaduan,” katanya. – SABAH MEDIA