Kota Kinabalu : Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mahu menjadikan kejohanan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2024 yang bermula esok sebagai satu persiapan bagi melihat kekuatan dan kelemahan anak buahnya sebelum aksi Liga Super musim ini bermula.
Katanya, meskipun sasaran untuk mencapai juara itu dilihat penting namun ia adalah objektif utama perlawanan pra musim yang turut disertai dua pasukan Liga Super musim ini dan satu dari Liga Singapura.
Selain Sabah FC, pasukan lain yang akan menyertai adalah Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Kuching City FC dan Hougang United FC.
“Kebiasaannya apabila kita bermain, sudah tentu kita inginkan kemenangan, namun objektif utama kita ialah untuk mendapatkan kecergasan perlawanan dan untuk mengenal pasti kekuatan serta kelemahan kita sebelum musim bermula.
“Itu yang lebih penting, tapi kita tetap akan cuba hingga ke peringkat akhir perlawanan dan menjadi juara. Namun, apa yang lebih penting ialah untuk saya mengenal pasti kombinasi Sabah FC,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pra perlawanan Piala SMJ di Stadium Likas, di sini, petang tadi.
Sidang media itu turut disertai Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak dan Ketua Jurulatih Hougang United, Marko Kraljevic.
Kedua-dua Ketua Jurulatih Kuching City dan Hougang United turut menjadikan perlawanan itu untuk menguji pemain masing-masing menjelang permulaan liga musim ini, di samping untuk memenangi perlawanan.
Sementara itu, Kim Swee berkata, pemain tempatan turut diketengahkan dalam perlawanan itu nanti bagi memberi pendedahan, selain peluang kepada mereka untuk menambah minit permainan.
Piala SMJ edisi kedua itu akan berlangsung di Stadium Likas dengan menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM33,000, masing-masing RM15,000 untuk juara, diikuti naib juara (RM10,000), ketiga (RM5,000) dan keempat (RM3,000).
Aksi pertama dijadual akan bermula jam 4 petang esok menerusi pertemuan KL City dengan Kuching City, disusuli pertemuan Sabah menentang Hougang United pada jam 8 malam.
Seterusnya Kuching City akan bertemu Hougang United pada jam 4 petang, Rabu ini (1 Mei), disusuli perlawanan di antara Sabah dan KL City pada jam 8 malam hari yang sama.
Ia kemudian disusuli perlawanan ketiga pada 3 Mei bermula dengan pertemuan Hougang United dan KL City pada jam 4 petang, manakala Sabah menetang Kuching City pada jam 8 malam.
Hari penentuan pula dijadualkan pada 5 Mei, bermula dengan penentuan tempat ketiga dan keempat pada jam 4 petang, manakala perlawanan akhir pada jam 8 malam. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC