KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib mencadangkan projek pembinaan Tabung Darah Sabah diswastakan agar kemudahan itu dapat beroperasi dan memberi perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini dengan kadar segera.
“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan Projek pembinaan Tabung Darah di Sabah di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Tahun 2023 Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) sejumlah RM86 juta.
“Jadi saya mencadangkan oleh kerana projek ini sudah diluluskan, kalau boleh kita bagi kepada swasta seperti Institut Jantung Negara (IJN) berkolaborasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Saya fikir ini lebih baik sekiranya tabung darah ini diswastakan ia akan dapat disiapkan dengan cepat oleh kerana jika kita beri tender dan keluarkan RM86 juta itu kadang-kadang kontraktor tidak dapat menyiapkan projek itu, jadi siapa yang rugi? Rakyat rugi, kerajaan rugi dari segi duit, rakyat rugi dari segi perkhidmatan,” tegasnya pada sidang media semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah di sini, hari ini.
Menurut James, Sabah sangat memerlukan kemudahan tabung darah khas dibina di negeri ini.
“Keperluan darah ini memang sangat kritikal sebab dengan adanya tabung darah ini boleh menyelamatkan banyak nyawa manusia seperti pesakit talasemia dan sebagainya, malah kita tidak payah lagi ke hospital sana sini pinjam darah, minta derma dan sebagainya kalau kita sudah ada satu tabung darah,” katanya.
Justeru itu, beliau turut memaklumkan akan berbincang dengan Pengarah Kesihatan Sabah mengenai lokasi tapak bangunan tabung darah berkenaan.
“Saya akan berbincang dengan Pengarah Kesihatan Sabah di mana tanah atau lokasi tapak untuk bangunan tabung darah ini dibina,” katanya.
Dalam pada itu, James turut memberitahu walaupun bangunan dan perkhidmatan diswastakan namun beliau yakin perkhidmatan tabung darah itu tidak akan membebankan rakyat di negeri ini kerana ia di bawah kawal selia oleh pihak KKM.