HomeUtamaJabatan Perhutanan perlu terus tingkatkan kutipan hasil hutan

Jabatan Perhutanan perlu terus tingkatkan kutipan hasil hutan

Read Time:3 Minute, 17 Second

Kota Kinabalu : Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) perlu terus berusaha meningkatkan kutipan hasil hutan untuk mencapai sasaran RM165 juta yang ditetapkan pada tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sasaran itu meliputi anggaran pengeluaran hasil hutan sebanyak 920,000 meter padu daripada kawasan hutan simpan, tanah kerajaan dan juga tanah bergeran, yang bakal mencatat lebihan hasil sebanyak RM10 juta berbanding hasil kutipan pada tahun lalu.

Katanya, setakat bulan lalu tahun ini, JPS telah berjaya mengutip sekitar RM39.7 juta atau 24 peratus daripada sasaran sebenar.

“Sekiranya momentum ini berterusan, saya yakin Jabatan Perhutanan bukan sahaja dapat mencapai sasaran kutipan hasil itu, malah mungkin lebih daripadanya. Saya berharap semua warga kerja JPS bekerja keras untuk memastikan usaha ini tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Perhutanan Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Teks ucapan Hajiji dibacakan Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji juga mahu jabatan itu menerokai lebih banyak peluang penjanaan hasil melalui hutan, termasuklah aktiviti-aktiviti rekreasi berasaskan hutan, pembayaran perkhidmatan ekosistem hutan dan perdagangan karbon melalui pelaksanaan Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation Plus (REDD+), bekalan tenaga hijau dan pengkomersialan hasil penyelidikan.

Katanya, walaupun tahun lalu JPS berjaya mengutip RM1.647 juta hasil daripada Rekreasi Hutan iaitu lebih kurang dua peritus daripada keseluruhan kutipan hasil hutan, namun impaknya sangat besar kepada usaha konservasi negeri.

Menurutnya, usaha murni untuk memperkasakan aktiviti rekreasi hutan ini bukan sahaja membantu konservasi negeri, malah memberikan pilihan rekreasi kepada masyarakat umum yang mahukan kepelbagaian kawasan untuk dilawati di Sabah.

Hajiji berkata, sejajar dengan komitmen untuk memperkasakan tatakelola terhadap pengurusan hutan secara berkekalan, JPS telah menyasarkan supaya semua kawasan pengurusan hutan dipersijilkan dibawah mana-mana skim pensijilan yang diterima di peringkat antarabangsa menjelang tahun 2025 dan setakat ini, seluas 280,616 hektar kawasan pengurusan hutan telah menerima pensijilan.

Katanya, dalam menghadapi regulasi perdagangan komoditi yang baru diperkenalkan oleh Kesatuan Eropah (EU) pada tahun 2022, Kerajaan melalui JPS akan memperkasakan dan menyemak semula standard Sabah Timber Legality Assurance System (Sabah TLAS) sebagai due diligence system yang seiring dengan keperluan European Union Deforestation Regulation (EUDR).

Beliau berkata, proses pensijilan hutan serta pelaksanaan Sabah TLAS akan dapat menepis tohmahan sesetengah pihak yang mempersoalkan ketelusan dan akauntabiliti tatakelola sumber hutan negeri.

Menurutnya, seiring dengan aspirasi pendigitalan perkhidmatan awam, JPS telah mewujudkan Pangkalan Data dan Teknologi Geospatial Sumber Hutan Sabah melalui projek pembangunan biayaan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah di bawah RMK-12.

“Sistem pangkalan data tersebut telah dibangunkan pada tahun 2023, untuk menyokong pengurusan sumber hutan yang lebih cekap dan berkesan. Selain itu, satu aplikasi permohonan pembayaran royalti balak bulat secara atas talian -Sistem Pemeriksaan dan Pentaksiran Royalti Balak Bulat (SPPR) juga telah dibangunkan di JPS, bertujuan untuk memudahcara sistem bayaran royalti kepada Kerajaan, disamping memudahkan proses kutipan hasil kepada Kerajaan,” katanya.

Menyentuh kawasan ladang hutan, Hajiji berkata Kerajaan Sabah menyasarkan seluas 18,000 hektar kawasan ladang hutan untuk dibangunkan setiap tahun, bagi mencapai sasaran 400,000 hektar ladang hutan menjelang tahun 2036, seiring dengan Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan (2022-2036).

“Justeru itu, saya menyeru kepada semua pengusaha pengurusan hutan mampan iaitu pemegang lesen Sustainable Forest Management Licence Agreement (SFMLA), terutamanya mereka yang terlibat dengan pembangunan ladang hutan, untuk mempergiatkan lagi usaha untuk mencapai sasaran tanaman di kawasan masing-masing, bagi memastikan agenda ini terlaksana dengan jayanya”, katanya.

Beliau berkata, jabatan itu juga sedang menjalankan kajian rantaian nilai ekonomi (Economic Value Chain (EVC)) untuk menyokong pembangunan industri kayu kayan di Sabah dengan pembangunan dinilai dari segi ketersediaan bekalan kayu balak yang mencukupi dan bagaimana industri perkayuan di peringkat hiliran perlu melakukan perubahan untuk menghasilkan produk yang bernilai tambah.

Sehubungan itu Hajiji mahu JPS mengenal pasti beberapa kluster industri perkayuan di Sabah yang boleh dibangunkan sesuai dengan ketersediaan bekalan bahan mentah khususnya kayu tanaman seperti Acacia, Eucalyptus, Batai, Laran dan juga getah.

“Ini bagi mempastikan agar kos pemprosesan termasuklah berkaitan dengan pengangkutan akan dapat dikurangkan dan menjamin pulangan yang baik kepada industri,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN

RELATED ARTICLES
Utama

MCMC Arah Pengendali Media Sosial Turunkan Audio, Video Dakwaan Rasuah ADUN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular