HomePolitikGRS serasi dengan PH Sabah, tolak kerjasama parti luar

GRS serasi dengan PH Sabah, tolak kerjasama parti luar

Read Time:1 Minute, 38 Second

Kota Kinabalu : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menolak sebarang kerjasama dengan parti lain dari Semenanjung bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.

Ketua Penerangan GRS Datuk Joniston Bangkuai berkata, tidak ada sebab untuk gabungan parti tempatan itu menjalinkan kerjasama dengan parti lain yang kini telah serasi dalam mentadbir negeri bersama Pakatan Harapan (PH) Sabah.

“Mengambil kira keyakinan rakyat kepada GRS dan keserasiannya dengan PH Sabah dalam mentadbir negeri, tidak ada sebab untuk gabungan parti tempatan menjalinkan kerjasama dengan parti lain yang berpangkalan di Semenanjung.

“Oleh itu GRS akan menumpukan usaha merealisasikan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam membangunkan negeri dan menyatupadukan rakyat disamping terus memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada dengan PH Sabah.

“GRS amat selesa dengan PH Sabah dan rakan-rakan yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata demikian susulan kenyataan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mahu menyuarakan minat partinya untuk bekerjasama dengan GRS.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dilaporkan sebagai berkata partinya akan meneliti sama ada akan berkerjasama dengan GRS dalam PRN ke-16 yang bakal diadakan tahun hadapan.

Joniston berkata, PH Sabah memilih untuk menyokong pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah apabila segelintir ADUN UMNO Sabah berkomplot dengan Parti Warisan untuk menumbangkan kerajaan pimpinannya pada awal tahun 2022.

Katanya, keputusan PH Sabah menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri didorong oleh kebimbangan momentum membangunkan Sabah akan terganggu oleh keadaan politik yang tidak stabil akibat tindakan pihak tertentu yang mahu menggulingkan kerajaan yang sudah terbentuk.

“GRS melihat hasrat Parti Bersatu dan Parti Pejuang untuk berkerjasama dengannya sebagai tanda keyakinan kedua-dua parti itu terhadap keikhlasan dan kesungguhan gabungan parti tempatan itu sebagai peneraju kerajaan Sabah.

“Sebagai gabungan parti tempatan, GRS akan sentiasa berpandu kepada pandangan dan sentimen rakyat Sabah dalam membuat sebarang keputusan.  GRS amat menghargai sambutan positif serta perasaan selesa majoriti rakyat Sabah terhadap kerajaan GRS-PH plus,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Politik

Pemuda Gagasan Rakyat sedia hadapi PRN-17

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular