HomeUtamaKesedaran masyarakat terhadap 'Job Scam' perlu ditingkatkan

Kesedaran masyarakat terhadap ‘Job Scam’ perlu ditingkatkan

Read Time:2 Minute, 8 Second

Kota Kinabalu: Kesedaran awal perlu dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat tentang penipuan pekerjaan dari luar negara atau lebih dikenali ‘Job Scam’. 

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, walaupun Sabah mempunyai jumlah kes yang sedikit iaitu 42, masyarakat perlu sedar agar tidak mudah terpedaya dengan penipuan pekerjaan yang melibatkan golongan berusia 18 sehingga 29 tahun itu.

“Job Scam sedang berleluasa sekarang ini dan ramai rakyat terperangkap tawaran bekerja di luar negara dengan gaji lumayan, elaun tinggi dan tiket, hotel serta makanan percuma tetapi akhirnya mereka terjerumus.

“Orang ramai perlu berhati-hati dan jangan sampai terpedaya kerana sekiranya terperangkap macam-macam perkara akan berlaku sehingga membahayakan nyawa mereka.

“Ini menjadi kebimbangan saya juga, jangan rakyat Sabah terperangkap dengan Job Scam dan antara cara untuk mengatasinya adalah dengan memberi maklumat, pencerahan serta kesedaran awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Diplomasi Awam Wisma Putra di Dewan Al-Bukhari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, di sini.

Mohammad berkata, scammer dahulu memang menyasarkan kepada mereka yang berada di Kuala Lumpur, Selangor tetapi apabila program dibuat secara efektif di sana, scammer tidak berani untuk merekrut lalu mereka menyasarkan Malaysia Timur.   

“Saya akan minta kepada jawatankuasa terlibat untuk memasukkan topik Job Scam agar orang ramai sedar, jangan mudah terpedaya jika mendapat sebarang tawaran pekerjaan terutamanya dari media sosial dan sentiasa berhati-hati,” katanya

Dalam majlis tersebut, Mohamad menjelaskan Program Diplomasi Awam merupakan antara inisiatif kementeriannya memberi kesedaran kepada orang awam termasuklah penuntut di universiti tentang isu-isu diplomasi dan hubungan antarabangsa.

Beliau berharap pelaksanaan program tersebut mampu memberi penjelasan atau maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat khususnya di Sabah yang melibatkan isu-isu antarabangsa iaitu isu persempadanan darat,  persempadanan  laut dan sebagainya.

“Harapan saya agar program ini dapat membantu orang awam dan juga mahasiswa untuk menerima maklumat yang paling sahih, tepat dan jangan terima apa-apa maklumat yang tidak benar kerana boleh mengeruhkan keadaan serta memesongkan persepsi kita,”katanya.

Seramai lebih 600 orang pelajar UiTM menyertai Program Diplomasi Awam Wisma Putra dan kebanyakan pelajar terdiri daripada Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP).

Hadir sama, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Sabah, Prof Ts. Dr. Imbarine Bujang, Setiausaha Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam, Wisma Putra, Datuk Yubazlan Yusof, Setiausaha Bahagian Konsular, Wisma Putra, Datuk Mohammad Ali Selamat dan Konsul, Republik Korea di Kota Kinabalu, Sabah, Yoon Ockchae.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular