HomeUtamaYayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Yayasan PETRONAS menyumbang sebanyak 500 bakul makanan kepada penerima di Sabah di bawah program Memacu Kehidupan sempena sambutan Pesta Kaamatan.

Pengagihan tersebut bermula di Ranau pada 1 Mei lepas semasa majlis pelancaran sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024, yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Semasa majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS Shariah Nelly Francis menyerahkan bakul makanan kepada penerima terpilih di Ranau, yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah.

Sejumlah 300 bakul makanan diagihkan di Ranau manakala selebihnya di Kota Marudu, Penampang dan Kota Kinabalu.

Shariah Nelly berkata, Kaamatan bukan sekadar sambutan sempena musim penuaian padi malah ia juga melambangkan kesalinghubungan kita dan semangat komuniti yang mengeratkan kita semua.

“Kami berharap agar sumbangan ini dapat sedikit sebanyak membawa keceriaan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, seorang daripada penerima, Masnah Kuridi, 60, ibu tunggal dari Kampung Kibbas, Ranau berterima kasih atas sumbangan tersebut.

“Dengan sumbangan ini, sambutan Kaamatan pada tahun ini akan lebih meriah lagi,” katanya.

Manakala Milter Gangkuh, 52, seorang anggota Persatuan Malim Gunung Kinabalu, berkata, bagi pihak persatuan, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS atas sokongan terhadap persatuan mereka.

Sebahagian daripada penerima program itu di Ranau merupakan ahli persatuan berkenaan.

Program Memacu Kehidupan merupakan sebahagian daripada strategi program kesejahteraan dan pembangunan masyarakat oleh Yayasan PETRONAS.

Inisiatif ini selaras dengan Agenda Kelestarian PETRONAS dan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

RELATED ARTICLES
Utama

Sistem air minuman secara mudah alih, berkuasa solar berjaya dibangunkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular