HomeUtamaPesta Kaamatan platform pupuk perpaduan

Pesta Kaamatan platform pupuk perpaduan

Read Time:1 Minute, 21 Second

Tamparuli: Pesta Kaamatan kekal menjadi platform terbaik bagi memupuk perpaduan dan persahabatan dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, rakyat tanpa mengira agama dan kaum diseru untuk terus memupuk perpaduan, menghormati antara satu sama lain dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang memudaratkan perpaduan.

Katanya, perkara yang paling penting adalah sokongan rakyat kepada kerajaan tidak boleh goyah agar pembangunan boleh dilaksanakan di negeri ini.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada semua perayaan kebudayaan dan keagamaan memandangkan keunikan budaya dan tradisi Sabah adalah aset penting rakyat.

Selain itu, dalam konteks pembangunan, Hajiji turut menggesa semua wakil rakyat untuk sentiasa turun padang melibatkan akar umbi di kawasan masing-masing bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

“Jangan tunggu masalah timbul, sebaliknya sentiasa dekat dengan rakyat. Begitu juga semua pegawai daerah dan kakitangan di jabatan berkaitan juga perlu proaktif dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran di sini.

Hajiji berkata, Pesta Kaamatan tahun ini bertemakan ‘Kaamatan, Melangkaui Keterjaminan Makanan’ adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan keselamatan makanan Sabah.

Katanya, ia juga memberi peringatan kepada semua pihak untuk bekerja lebih keras bagi meningkatkan hasil dan mengekalkan sumber makanan negeri.

Beliau mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil pertanian khususnya Tahap Sara Diri (SSL) komoditi padi.

“Selain menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah, saya berharap mereka yang mempunyai tanah yang luas termasuk sawah terbiar supaya memajukan tanah mereka, memandangkan kerajaan negeri ada beberapa insentif untuk berbuat demikian terutama penanaman padi tahun ini,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan anugerah Tokoh Kaamatan kepada penerima dalam lima kategori.

RELATED ARTICLES
Utama

Bas ekspres jatuh gaung, enam mangsa cedera

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular