HomeUtamaPotensi limau bali di Sabah perlu terus diterokai petani

Potensi limau bali di Sabah perlu terus diterokai petani

Read Time:1 Minute, 52 Second

Kota Kinabalu : Sabah berjaya merekodkan jumlah pengeluaran limau bali (pamelo) sebanyak 134,000 kilogram (kg) dengan nilai RM527,000 pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, jumlah yang direkodkan sehingga 7 Mei lalu itu secara tidak langsung mencerminkan potensi dalam pertanian limau bali untuk diterokai oleh para petani di negeri ini.

“Sabah merupakan salah satu daripada pengeluar limau bali utama di Malaysia selain dari negeri Perak. Pada tahun lalu, industri limau bali (pamelo) di negeri ini mencatatkan hasil sebanyak 268,000 kg bersamaan dengan RM966,000.

“Justeru saya berpendapat bahawa satu standard atau piawaian dalam kalangan petani dan pengeluar limau bali tempatan harus diwujudkan selaras dengan konsep PINTAR yang menjadi hala tuju kementerian pada tahun ini.

“Ini adalah bagi mengukuhkan lagi kedudukan negeri ini dalam pengeluaran serta pengeksportan buah limau bali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Amalan Pemasaran Baik, Standard Dan Kualiti Buah Limau Bali di sini hari ini.

Program itu dianjurkan bersama FAMA Sabah dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sabah; Bahagian Kawalan Racun & Perosak Baja, Jabatan Pertanian Malaysia serta MARDI Sabah.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, melalui pengajaran amalan-amalan terbaik dalam pemasaran,  matlamat penurunan kadar kerosakan lepas tuai dari 30 hingga 50 peratus kepada kurang daripada 30 peratus sepanjang rantaian bekalan akan dapat dicapai.

Katanya, ini seterusnya dapat membantu mengurangkan kerugian hasil pertanian dan menjadikan industri pertanian lebih berkesan dan efisien.

“Justeu para petani limau bali Tenom disaran mempraktikan amalan standard operasi atau piawaian yang terbaik bagi mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai salah satu pengeluar utama industri limau bali negara,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Arthur turut menyaksikan sesi menandatangi perjanjian ‘Forward Agreement’ antara FAMA Sabah dengan seramai 22 peserta penanam buah limau bali Tenom. 

Melalui perjanjian ini, FAMA Sabah mensasarkan pembekalan buah limau bali sebanyak 10 metrik tan/seminggu dan sejumlah 480 metrik tan/setahun dengan harga kenaikan harga awal sebanyak RM3.70/kg berbanding harga semasa RM3.60/kg.

Arthur percaya dengan bimbingan daripada agensi KPKM di Sabah serta dengan sokongan padu MAFFI Sabah, para peserta tanaman buah limau bali Tenom akan dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

“Ini  seterusnya akan menjadikan industri ini sebagai pemangkin untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat di sini,” katanya. – SABAH MEDIA  

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular