KOTA KINABALU: Sebuah premis makanan di Bandaran Berjaya di sini diarah tutup kerana didapati premis tidak mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan.
Menerusi kenyataan media Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini, DBKK dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu (PKKKK) telah menjalankan pemeriksaan bersepadu pada 7 Mei 2024 lalu, ke atas sebuah premis makanan di Bandaran Berjaya yang tular di media sosial baru-baru ini.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati aduan berkenaan adalah benar dan terdapat tanda-tanda kehadiran tikus daripada bau dan najis tikus di premis berkenaan.
“Pihak PKKKK telah menjalankan penggredan untuk menilai tahap kebersihan dan premis makanan tersebut mendapat markah di bawah 70 peratus.
“Pengusaha juga didapati gagal mematuhi sepenuhnya Notis Arahan Penambahbaikan yang diberikan oleh pihak DBKK dalam pemeriksaan sebelum ini, iaitu pada 16 April 2024 bagi meningkatkan tahap kebersihan premis.
“Pihak PKKKK telah memberikan arahan Notis Perintah Tutup Premis Makanan di bawah Seksyen 11. Akta Makanan 1983 bermula 7 Mei 2024, jam 11.00 pagi atas sebab premis tidak bersih sehingga boleh menjejaskan kesihatan orang awam,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, premis makanan tersebut diarahkan untuk menjalankan pembersihan yang menyeluruh termasuklah melaksanakan kawalan makhluk perosak.
“Premis berkenaan hanya boleh dibuka setelah melepasi penggredan yang akan dilakukan oleh pegawai pemeriksa dalam pemeriksaan susulan selepas kerja-kerja pembersihan dibuat.
“Selain itu, pihak DBKK juga telah mengeluarkan satu kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 atas kesalahan semua pengendali makanan gagal memiliki Sijil Kesihatan yang sah.
“DBKK akan terus melaksanakan tindakan yang tegas dalam memastikan semua premis makanan berada dalam keadaan yang bersih,” kata kenyataan itu.