RANAU: Kira- kira 278 orang penduduk kampung Linapasan di sini mendapat manfaat daripada jambatan gantung baharu sepanjang 90 meter merentasi Sungai Malinsau telah siap dibina dan dirasmikan pada Khamis lalu.
Perasmian jambatan gantung tersebut disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan (KKTP), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Kemudahan tersebut memberi manfaat kepada penduduk kampung yang kebanyakannya terlibat dalam aktiviti pertanian selain memudahkan urusan seharian mereka.
Turut hadir Setiausaha Politik KKTP, Yubidi Gompoyo; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kundasang, Dounis Bolo; Pemaju Mukim, Ratimin Kononut; Wakil Ketua Anak Negeri, penduduk sekitar kampung dan kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang.
Dalam pada itu, Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang diiringi Ketua Kampung Linapasan, Rudi Barani turut menyampaikan kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada empat penerima.
“Bagi DUN Kundasang, Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak 20 unit rumah SMJ bagi mereka yang sangat memerlukan pada setiap tahun dalam tempoh tiga tahun ini.
“Sekiranya kerajaan GRS masih memerintah, program ini akan diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatannya bertemu rakyat di kampung itu.
Selain itu, beliau turut menyempurnakan perasmian gelanggang bola tampar baharu dan menyaksikan perlawanan antara penduduk kampung di situ.
Beliau turut memaklumkan beberapa jalan raya sedang dalam pembinaan di DUN Kundasang antaranya jalan raya dari simpang Terawas menuju ke Kg. Kaingaran dan dari simpang Bongkud ke Mini Estet Sejahtera (Mesej) di Kampung Mansalu.
“Setakat ini, ini adalah projek pembinaan jalan raya terbesar di sini melibatkan kos berjumlah lebih RM240 juta,” katanya.
Menurutnya, pihaknya turut dalam proses permohonan kepada Kerajaan bagi jalan-jalan kampung seperti jalan ke Nalumad dan ada beberapa projek jalan raya pertanian untuk dinaik taraf dalam tempoh dua hingga tiga tahun, dijangka melibatkan kos sebanyak RM40 juta.
“Pihak kita bersama Pejabat Daerah juga akan mengenal pasti apa keutamaan lain yang diperlukan di DUN Kundasang yang mempunyai 68,000 penduduk,” tambah beliau.