HomeUtamaTaman Perkuburan Islam Ar-Raudhah Fasa 2 Sandakan dapat tampung 1,000 jenazah

Taman Perkuburan Islam Ar-Raudhah Fasa 2 Sandakan dapat tampung 1,000 jenazah

Read Time:1 Minute, 36 Second

Sandakan: Projek pembukaan Taman Perkuburan Islam Ar-Raudhah Fasa 2 di Batu 11, dijangka dapat menampung kira-kira 1,000 jenazah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, masalah kekurangan kawasan tanah perkuburan di negeri ini merupakan isu yang sering diperkatakan, termasuk oleh masyarakat Sandakan.

“Hasil daripada lawatan kerja meninjau projek pembukaan tanah perkuburan Fasa II petang tadi (semalam), saya dapat melihat kerja-kerja pelaksanaan sedang giat dijalankan dan ia dapat menampung kira-kira 1,000 jenazah.

“Taman Perkuburan Ar-Raudhah yang mempunyai keluasan tanah sebanyak 65 ekar dan setakat ini kira-kira 10 ekar telah dibuka untuk Fasa 1 dan Fasa 2, dengan jumlah keseluruhan yang dikebumikan di kawasan ini mencecah kira-kira 2,800 jenazah.

“Taman Perkuburan Islam Ar-Raudhah Batu 11 ini digunakan untuk masyarakat daerah Sandakan secara keseluruhannya. Ia merupakan satu-satunya kawasan perkuburan yang dibina dengan begitu sistematik, teratur dan tersusun. Sementara pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) pula telah berjaya menguruskan kawasan itu dengan begitu baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Semarak Kasih Aidilfitri 2024 di Dewan Serbaguna Masjid Daerah Sandakan di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam.

Hajiji turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, terutamanya pasukan keselamatan yang tanpa jemu sentiasa menjaga keselamatan rakyat negeri ini daripada diganggu-gugat oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang berpaksikan rakyat dan mengutamakan kebajikan rakyat, kepentingan dan kebajikan rakyat Sabah merupakan keutamaan Kerajaan Negeri pada hari ini.

Justeru katanya, rakyat negeri ini perlu terus mengekalkan keharmonian dan persefahaman kerana kekuatan kita adalah perpaduan, yang merupakan tunjang kepada kestabilan politik negeri ini.

Beliau mengulangi komitmen Kerajaan Negeri untuk terus melakukan yang terbaik untuk Sabah dan berusaha menyelesaikan isu-isu berkaitan kemudahan asas dan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik dan jalan yang diwarisi oleh kerajaan sekarang.

“Kita sedang berusaha gigih untuk menangani semua ini demi rakyat dan negeri Sabah tercinta,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular