HomeUtama115 Ketua Adat DUN Usukan, Kadamaian sertai kursus transformasi kepimpinan

115 Ketua Adat DUN Usukan, Kadamaian sertai kursus transformasi kepimpinan

Read Time:2 Minute, 21 Second

KOTA BELUD: Seramai 115 Ketua Adat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan dan Kadamaian mengikuti Kursus Transformasi Kepimpinan Ketua-ketua Adat Cemerlang Siri 2, 2024 di Dewan Kadamaian Square, di sini.

Kursus yang diadakan selama dua hari bermula 13 hingga 15 Mei 2024 itu, pesertanya terdiri daripada 15 Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan 100 Ketua Kampung (KK).

Perasmian penutupan kursus tersebut pada hari ini disempurnakan Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Dr Joachim berkata, kursus tersebut memfokuskan pengetahuan dan pemahaman yang lebih jelas kepada Ketua-ketua Adat agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran seiring perubahan masa kini.

Katanya, pelaksanaan kursus ini juga merupakan satu usaha progresif ke arah pemerkasaan fungsi dan peranan Mahkamah Anak Negeri.

“Dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan sosial dan adat anak negeri, tanggungjawab dan peranan Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung adalah signifikan kerana boleh memberi kesan positif kepada masyarakat setempat sekaligus memainkan peranan yang penting dalam kawasan mereka untuk memupuk semangat perpaduan dan kerjasama antara penduduk.

“Oleh yang demikian, kursus yang dilaksanakan ini secara langsung dapat memberi penekanan kepada penambahbaikan perkhidmatan Ketua-ketua Adat seiring dengan misi jabatan untuk memartabatkan adat warisan, memelihara hak-hak anak negeri dalam memastikan Undang-undang Adat Anak Negeri sentiasa dipatuhi dan dihormati,” katanya.

Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, peningkatan tahap kompetensi dan integriti Ketua-ketua Adat di daerah Kota Belud ini adalah suatu keperluan.

Seiring dengan aspirasi kerajaan negeri berkaitan pemantapan integriti dan pemerkasaan tadbir urus, katanya, kursus ini akan menambah nilai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan oleh Ketua-ketua Adat dalam menjalankan tugas mereka dengan lebih cekap.

“Penekanan ini adalah penting untuk membina kepercayaan seterusnya mengeratkan hubungan antara komuniti dan pemimpin adat. Hal ini juga memberi dorongan positif kepada pembangunan tempatan dan mengukuhkan identiti serta warisan budaya anak negeri.

“Justeru, penekanan pada peranan Ketua-ketua Adat melalui kursus ini terutamanya mengenai hak tanah adat dan pengeluaran dokumen memberikan dimensi yang penting untuk memperkukuh kepimpinan dalam kalangan anak negeri.

“Selain itu, pendedahan mengenai mediasi sebagai alternatif penyelesaian pertikaian memberikan perspektif menyeluruh bagi kearifan dalam menangani isu-isu rumit,” jelasnya.

Mengucapkan syabas kepada semua peserta kursus, Dr. Joachim berkata, kursus tersebut harus dijadikan sebagai titik permulaan untuk meningkatkan kualiti kepimpinan dalam komuniti anak negeri Sabah.

“Saya berharap hasil daripada kursus ini, Mahkamah Anak Negeri Kota Belud akan dijadikan sebagai penanda aras (benchmark) kepada Mahkamah-Mahkamah Anak Negeri yang lain di Sabah dalam melaksanakan amalan-amalan sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Faridah Giau; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Majaran Osman; Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Benedict Topin; Penolong Pemungut Hasil Tanah; Mosgan Dukah; Ketua Daerah (DUN Kadamaian), Roslan Duraman dan Wakil Ketua Polis Daerah Kota Belud, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Belud, Tajuddin Padis.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa berjaya bangunkan ekonomi Sabah – Arif Sakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular