HomeUtamaJHL Sabah buka lesen buru buaya sepanjang tahun

JHL Sabah buka lesen buru buaya sepanjang tahun

Read Time:2 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar melalui Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah membuka lesen memburu buaya sepanjang tahun.

Menterinya Datuk Christina Liew berkata, ini adalah salah satu cara untuk memastikan penggunaan mampan untuk industri buaya di Sabah. Bagaimanapun, terdapat maklum balas minimum dari segi permohonan lesen setakat ini,” katanya dalam ucapannya pada penutupan Bengkel Pengurusan Konflik Buaya-Manusia di Sabah anjuran JHL di sebuah hotel terkemuka di sini pada Selasa.

Teks ucapan Christina dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian I Mary Malangking.

Bengkel dua hari itu, dihadiri lebih 100 peserta, membincangkan keseimbangan antara keselamatan manusia, mata pencarian, dan pemuliharaan buaya dalam ekosistem kita dan kewujudan bersama yang harmoni antara manusia dan buaya di Sabah.

Christina berkata, ia adalah keyakinan kukuh bahawa dengan memanfaatkan sumber asli kita secara mampan, kita boleh mencipta peluang yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

“Adalah besar harapan saya agar langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan konflik tetapi juga membuka pintu kepada peluang baharu, seperti pelancongan dan pengeluaran barangan mewah, sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan kita.

“Oleh itu, pada masa hadapan, buaya tidak akan digeruni sebaliknya dihargai oleh masyarakat,” katanya.

Para peserta diingatkan tentang matlamat asas, iaitu untuk meredakan ketakutan sesama rakyat Sabah sambil memastikan pemuliharaan buaya di habitat semula jadi mereka. Usaha ini, memerlukan perpaduan dan kerjasama.

“Saya menggesa anda semua untuk terus bekerjasama, merentas agensi dan komuniti,” katanya.

Sambil mengakui bahawa sejak turun-temurun, buaya dikhuatiri sebagai ancaman kepada kehidupan dan mata pencarian manusia, Christina berkata adalah penting untuk mengiktiraf peranan penting buaya dalam mengekalkan kesihatan ekosistem dan sebagai sumber yang berpotensi untuk meningkatkan kehidupan masyarakat tempatan Sabah.

“Adalah jelas bahawa terdapat jurang yang ketara dalam pemahaman masyarakat kita tentang konflik yang semakin meningkat antara manusia dan buaya. Oleh itu, tindakan dan platform diperlukan untuk merapatkan jurang ini, mendidik dan meningkatkan kesedaran,” tegasnya.

Mengenai visi tentang kewujudan bersama yang harmoni antara manusia dan buaya di Sabah, beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab pihaknya untuk merangka kursus yang mengimbangi pemuliharaan populasi buaya dengan memastikan keselamatan dan mata pencarian masyarakat tempatan di sini.

“Mendapat inspirasi daripada strategi yang berjaya dilaksanakan di Sarawak dan pandangan berharga yang dikongsi oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN) Crocodile Specialist Group Australia melalui bengkel ini, kami memperoleh pengetahuan yang diperlukan untuk membangunkan program dan strategi dalam menguruskan konflik manusia-buaya di Sabah, ” tambahnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Sabah melalui kementeriannya akan mengambil kira semua cadangan yang dikemukakan dalam bengkel ini dengan menyediakan pelan untuk mengurangkan konflik manusia-buaya di Sabah.

Sementara itu, Christina turut berterima kasih khas kepada penceramah dan fasilitator, International Union for Conservation of Nature (IUCN) Crocodile Specialist Group Australia, dan Sarawak Forestry Corporation kerana berkongsi kepakaran mereka serta membimbing perbincangan.

Turut hadir Timbalan Pengarah 1 JHL, Roland Oliver Niun yang mewakili Pengarah Augustine Tuuga, Penolong Setiausaha Kanan, Mohamad Zaid Yussof yang mewakili Setiausaha Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Pengarah Pusat Padang Danau Girang, Prof Dr Benoit Goossens, Charlie Manolis yang merupakan ahli International Union for Conservation of Nature (IUCN), Crocodile Specialist Group Australia.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular