HomeIsu tempatanProgram DIJAP secara pesisir mampu lahir tenaga mahir dalam amalan kehakiman dan...

Program DIJAP secara pesisir mampu lahir tenaga mahir dalam amalan kehakiman dan guaman syarie

Read Time:2 Minute, 5 Second

Kota Kinabalu : Penawaran program Diploma Lepasan Ijazah-Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) secara pesisir di kampus Univesiti Malaysia Sabah (UMS) mampu membantu dalam melatih dan menghasilkan tenaga profesional yang berkelayakan dalam amalan kehakiman dan guaman syarie.

Program yang ditawarkan melalui Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu akan mula dilaksanakan bermula Oktober tahun ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, usaha ini adalah suatu langkah yang sangat relevan dengan keperluan semasa yang menjadi fardu kifayah dalam masyarakat Islam yang perlu ditangani bersama.

“Melahirkan pakar-pakar yang mahir dalam bidang ini dilihat memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam membentuk tenaga profesional dalam sistem kehakiman bagi tujuan keadilan secara menyeluruh sesuai dengan prinsip-prinsip syariat Islam.

“Ini juga dapat menggalakkan pemahaman yang mendalam tentang prinsip-prinsip syariah, selain menyokong pembangunan masyarakat sebagai ejen perubahan berteraskan akidah, syariah dan akhlak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena dengan pelancaran program tersebut yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Dr. Norzrul Thani Nik Hassan Thani di UMS.

Sementara itu, Norzrul Thani dalam ucapan perasmiannya memberitahu, memiliki DIJAP merupakan salah satu syarat utama bagi melayakkan graduan undang-undang dan syariah beramal dalam bidang kehakiman dan guaman syarie termasuk di negeri Sabah.

“Melihat kepada keperluan ini, FSU USIM telah mengambil inisiatif bersama dengan Fakulti Pengajian Islam (FIS) UMS bagi membuka ruang dan peluang kepada pelajar di Zon Sabah dan Sarawak untuk mengikuti program ini.

“Sebagai makluman, DIJAP juga merupakan program lepasan ijazah yang ulung di sini kerana belum ada program seumpama ini yang ditawarkan di Sabah.

“Program ini dirangka untuk memberikan penekanan kepada pemahaman undang-undang Islam, prosedur mahkamah syariah, perundangan keluarga Islam, perundangan jenayah, tatacara mal dan tatacara jenayah, pengurusan firma, etika guaman dan aspek-aspek lain yang berkaitan dengan sistem kehakiman syariah dan kepeguaman syarie,” katanya.

Tambah beliau, penawaran program DIJAP tersebut bakal memberikan nilai tambah kepada prospek kerjaya pelajar dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan Islam serta amalan guaman syariah.

“Program ini bukan sahaja memenuhi keperluan akademik yang ditetapkan, tetapi juga memberi pendedahan yang luas kepada fahaman dan aplikasi enakmen-enakmen Syariah Negeri Sabah dan arahan-amalan Mahkamah Syariah Negeri Sabah,” ujar beliau.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr Sharifudin Md Shaarani; Ketua Hakim Syarie Sabah, Ahadin Arinen; Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Sabah, Abdul Razak Jamil; Dekan FSU USIM, Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh; dan Dekan FIS UMS, Prof. Dr. Dahlan Abdul Malek. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Peranan persatuan penting galakkan pendermaan darah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular