HomeIsu tempatanICOMSA 2024 terus peka kepentingan sumber marin dan akuakultur

ICOMSA 2024 terus peka kepentingan sumber marin dan akuakultur

Read Time:2 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu : Seramai 154 peserta menyertai Persidangan Antarabangsa Sains Marin dan Akuakultur 2024 (ICOMSA) anjuran Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung di sini semalam.

Persidangan selama dua hari itu turut disertai oleh peserta antarabangsa dari Indonesia, China, Japan, Korea Selatan dan Rusia. 

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, sebagai sebuah pemain industri marin negara, peranan UMS tertumpu kepada usaha menyokong kerajaan dalam membuat keputusan berkaitan sains dan hal ehwal marin dan maritim, selain memberikan pendidikan berkualiti tinggi dalam bidang berkenaan. 

Katanya, projek penyelidikan yang dijalankan oleh UMS adalah relevan pada masa kini untuk menangani isu-isu antarabangsa seperti pemanasan global dan kesan perubahan iklim kepada alam sekitar dan penduduk dunia. 

“Ini termasuklah penyelidikan karbon biru mengenai rumpai laut dan paya bakau yang penting sebagai tempat perlindungan, pembenihan dan makanan untuk ikan, udang dan ketam termasuk spesies komersial.

“Kesan perubahan iklim yang meluas menyebabkan kemerosotan yang signifikan kepada ekosistem laut. Kesannya sudah dirasai oleh mereka yang terlibat bukan sahaja dalam industri perikanan tetapi juga rakyat yang bergantung kepada sumber laut,” katanya.

Teks ucapan kasim dibacakan oleh Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Profesor ChM. Ts. Dr. Coswald Stephen Sipaut.

Tambah Kasim, dengan memiliki kemudahan akuakultur terbaik, UMS dapat melatih lebih ramai pelajar dan penyelidik dari dalam dan luar negara dengan menggunakan kemudahan di IPMB seperti hatceri dan inkubator.

“Selain daripada penyelidikan akuakultur, penyelidikan marin juga sangat penting, seperti perikanan, terumbu karang dan pemulihan rumput laut, penubuhan kawasan perlindungan marin, dan pemuliharaan biodiversiti, sejajar dengan matlamat Pembangunan Mampan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu SDG14 mengenai Kehidupan di Bawah Air.

“UMS misalnya sedang melaksanakan beberapa projek pemulihan karang besar yang diterajui WWE-Malaysia bersama Taman-Taman Sabah di Kudat. UMS juga bekerjasama rapat dengan Taman-Taman Sabah dalam penubuhan kawasan perlindungan baru, seperti cadangan kawasan perlindungan marin Teluk Darvel,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian ICOMSA 2024 yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya, Datuk Rosmadi Datu Sulai.

Terdahulu Pengerusi ICOMSA 2024, Dr. Zarina Waheed berkata ICOMSA 2024 menekankan usaha dan kesungguhan penyelidikan dalam memajukan sains marin dan penyelidikan akuakultur yang mampan. 

Katanaya ia bukan sahaja mengukuhkan strategi pengurusan berasaskan sains yang memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, matlamat 14 mengenai Kehidupan di Bawah Air, tetapi juga mempromosikan matlamat SDG 4 mengenai Pendidikan Berkualiti. 

“Tema persidangan, ‘Ocean Futures: Advancing Sustainable Marine Science and Aquaculture for a Changing World’, sejajar dengan isu-isu sebenar dan mendesak mengenai keadaan laut pada masa kini. Sesi persidangan ini terdiri daripada 11 subtema, dengan topik daripada Akuakultur dan Perikanan kepada Mitigasi dan Adaptasi Perubahan Iklim, kepada Pencemaran Marin dan Kesihatan Laut.

“Dengan mengadaptasi kemajuan dalam teknologi maklumat, para penyelidik telah mempelbagaikan cara untuk mempamerkan penyelidikan melalui pelbagai platform termasuk secara maya dengan penglibatan generasi muda yang akan memikul tanggungjawab masa depan dalam penyelidikan dan pembuat dasar. 

“Landskap akademik dan kolaboratif ini menekankan kepentingan acara seperti persidangan yang dianjurkan. Saya percaya persidangan ini berpotensi untuk menarik lebih ramai peserta ke Sabah sekali gus memacu kemajuan substantif dalam sains marin dan akuakultur dalam dunia yang sentiasa berubah,” katanya. 

Turut hadir, Pengarah IPMB UMS, Profesor Madya Dr. Ching Fui Fui @ Faihana Ching Abdullah.  – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

58 beg darah berjaya dikutip, bantu pesakit memerlukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular