Lahad Datu : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot pam lebih kurang 0.1 batu nautika di kawasan perairan Pulau Sakar, Lahad Datu kerana disyaki cuba melakukan aktiviti bom ikan petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna Razali Chan berkata hasil rondaan yang dilakukan, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot pam berwarna biru dalam keadaan mencurigakan lebih kurang pukul 2.15 petang.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 26, (menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya).
“Dua orang lelaki dewasa yang menaiki bot tersebut berjaya melarikan diri dengan terjun dan berenang ke pesisir daratan berhampiran selepas menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia.
“Bot ditahan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. Turut dirampas sebuah enjin bot, sebuah kompressor, enam botol bom ikan, peralatan menyelam dan lima set jaring menyimpan ikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Suzanna berkata, komuniti maritim terutamanya di Sabah diingatkan agar tidak melakukan aktiviti bom ikan ini kerana ia bukan sahaja salah di sisi undang-undang laut negara malah membawa kesan negatif kepada ekosistem laut.
Selain itu katanya, ia juga turut membahayakan nyawa pelaku serta mereka yang sedang melakukan aktiviti menyelam.
“Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Lahad Datu.
“Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta untuk bekerjasama menyalurkan maklumat ataupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu yang beroperasi 24 jam di talian 089- 885727 atau MERS 999,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA