HomeUtamaTiada kompromi 40 peratus, pertahankan hak perlembagaan Negeri Sabah - Hajiji

Tiada kompromi 40 peratus, pertahankan hak perlembagaan Negeri Sabah – Hajiji

Read Time:2 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah dengan tegas mengesahkan bahawa tidak akan melepaskan hak -hak perlembagaan Negeri Sabah berhubung pemberian khas 40 peratus Net Revenue (Hasil Bersih) di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata, hal ini diperkukuhkan oleh Perdana Menteri Malaysia dalam ucapan bajet 2023 apabila mengiktiraf dan mengesahkan Kerajaan Persekutuan komited untuk meningkatkan kadar pemberian khas itu berbanding yang dipersetujui sebelum ini dan akan mempercepatkan rundingan untuk mencari penyelesaian.

“Isu kritikal ini kini berada di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.

“Kami akan terus mempertahankan hak-hak perlembagaan Negeri Sabah berhubung dengan formula perkongsian hasil sedia ada dan ini mesti dihormati oleh Kerajaan Persekutuan.

“Ini termasuk tuntutan negeri Sabah untuk “tahun-tahun yang hilang” (lost years) di mana tiada semakan dijalankan dari tahun 1974 sehingga baru-baru ini,” tegas Hajiji dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, setakat ini, terdapat penyelesaian interim (tanpa prejudis) di mana Negeri Sabah menerima lebih banyak daripada sebelum ini sementara menunggu rundingan lanjut antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk menuntut apa yang berhak kepada Negeri Sabah.

“Malah, sementara menunggu rundingan yang sedang berjalan, jumlah interim telah meningkat daripada RM125.6 juta pada 2022 dan daripada RM260 juta yang diumumkan pada Januari 2023 kepada RM300 juta pada Julai 2023.

“Walaupun ini tidak mencapai apa yang dijangkakan, kami telah komited dan konsisten dalam mendapatkan lebih banyak daripada Kerajaan Persekutuan berbanding sebelum ini,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau turut menghormati hak Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) memulakan prosiding mengenai perkara itu.

“Dalam pada itu, biar saya jelaskan, kami menghormati hak Persatuan Undang-undang Sabah untuk memulakan prosiding undang-undang mengenai perkara ini.

“Kami juga mengiktiraf peranan penting litigasi kepentingan awam dalam memartabatkan kedaulatan undang-undang ke arah pentadbiran yang adil dan saksama.

“Kerajaan Negeri melihat inisiatif oleh SLS daripada sudut positif yang tidak berpihak dan tidak berpolitik dalam kepentingan bersama aturan perlembagaan ketika Sabah terlibat dalam pembentukan Malaysia pada 1963.

“Saya tidak mahu membuat kesimpulan awal mengenai keputusan Mahkamah Rayuan tetapi saya berkongsi sentimen rakyat Sabah dan berharap sebarang keputusan akan memihak kepada Negeri Sabah.

“Saya telah mengarahkan Peguam Besar Negeri Sabah untuk meneliti dan menyemak prosiding undang-undang yang sedang berjalan dan jika perlu, untuk membetulkan sebarang kenyataan yang salah dan berbeza daripada kedudukan jelas dan rasmi Kerajaan Negeri Sabah,” tegasnya.

Beliau berkata, walaupun prosiding sedang berlangsung di Mahkamah Rayuan, Kerajaan Negeri Sabah tetap dengan pendirian untuk mengekalkan tuntutan Kerajaan Negeri Sabah bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan secara perundangan dan berperlembagaan untuk melaksanakan hak-hak Negeri Sabah dengan membayar Pemberian Khas seperti apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sama ada dari segi sejarah mahupun pada masa yang akan datang.

Hajiji berkata, hak kewangan negeri ini telah dirundingkan sebelum pembentukan Malaysia dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Hak Negeri Sabah ini telah dirundingkan sebelum pembentukan Malaysia dan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Pendirian ini adalah hak kewangan Negeri Sabah dan bukan sekadar aspirasi.

“Saya memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa kita tidak akan berhenti dalam usaha untuk semua hak negeri yang sepatutnya di bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah pendirian kami yang tidak berkompromi dan mutlak,” tegas Hajiji lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular