HomeUtamaKomuniti Madani diseru manfaatkan aplikasi 'PriceCatcher', 'Speedtest'

Komuniti Madani diseru manfaatkan aplikasi ‘PriceCatcher’, ‘Speedtest’

Read Time:1 Minute, 45 Second

Kota Kinabalu : Komuniti Madani disaran untuk memanfaatkan aplikasi ‘PriceCatcher’ dan ‘Speedtest’ untuk memperoleh maklumat harga barangan serta kelajuan internet.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, aplikasi ‘PriceCatcher’ bukan sahaja membantu rakyat di akar umbi tetapi memberi kuasa kepada pengguna mendapatkan maklumat barang keperluan dengan harga yang murah dan berpatutan.

“Melalui pertemuan saya dengan pengerusi-pengerusi Komuniti Madani sekitar Kota Kinabalu, saya menyeru mereka dan ahli dalam komuniti untuk memuat turun aplikasi PriceCatcher di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“PriceCatcher dapat membantu rakyat di peringkat akar umbi memahami seterusnya membolehkan mereka membuat perbandingan antara pelbagai kedai yang menjual barang dengan harga yang berpatutan,” katanya ketika ditemui media dalam Program Sembang Santai Bersama Komuniti, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi turut menyeru Komuniti Madani menggunakan aplikasi Speedtest bagi membantu membuat saringan kelajuan internet di kawasan masing-masing dan memainkan peranan menyampaikan maklumat tepat dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat.

“Sebarang maklumat permasalahan akan disalurkan terus kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk diambil tindakan sekiranya kelajuan internet tidak memuaskan ataupun ada masalah-masalah lain berkaitan capaian internet,” katanya.

Di samping itu, beliau juga menyarankan pengerusi setiap Komuniti Madani agar menyampaikan maklumat kepada komuniti di kampung masing-masing dalam bahasa dan cara yang sesuai, mudah serta mempunyai komunikasi dua hala.

“Kita tahu, ada Komuniti Madani yang menjaga sehingga lima kampung malahan ada lebih menyebabkan kadangkala setiap maklumat sukar untuk sampai mungkin disebabkan pelbagai faktor.

“Tetapi dengan adanya pengerusi yang dilantik bagi setiap komuniti, kita akan pastikan mereka bukan sahaja memimpin tetapi juga sebagai penterjemah bahasa daerah kepada masyarakat jagaannya.

“Segala maklumat itu perlu disampaikan dengan bahasa yang sesuai dengan persekitaran komuniti sebagai cerahan masyarakat akar umbi, sebagai contoh Program SejaTi Madani yang telah dilancarkan.

“Ada komuniti yang tidak faham proses membuat permohonan yang menyediakan geran mencecah RM100 ribu untuk aktiviti pertanian dan perniagaan tempatan yang sangat bermanfaat,” katanya.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Julina Johan, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Pengarah MCMC Pejabat Negeri Sabah, Ratnawaty Talib, Ketua Biro BERNAMA Sabah, Fadzli Ramli dan Ketua Unit Kreatif Cawangan Sabah, Drusella Brigit Anak Rijeng.

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular