HomePolitikDakwaan Bung bahawa PBS sebagai pengkhianat adalah tidak benar - Christoper

Dakwaan Bung bahawa PBS sebagai pengkhianat adalah tidak benar – Christoper

Read Time:2 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Kenyataan Bung Moktar bahawa PBS sebagai pengkhianat adalah tidak benar kerana penipu besar sebenarnya adalah UMNO sendiri, kata Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut.

Christoper menegaskan perkara itu berikutan kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu video tular mendakwa Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai pengkhianat.

Christoper berkata, kenyataan yang dilontarkan itu jelas menunjukkan tahap pengetahuan Bung Moktar yang dangkal terhadap sejarah politik Sabah.

Katanya, sebagai seorang ahli politik veteran di Sabah, Bung Moktar seharusnya tahu tentang sejarah PBS dan tidak membuat tuduhan sedemikian kerana rakyat di luar sana tahu ia adalah satu penipuan.

“Sebagai pengetahuan dan ingatan semula Bung Moktar, PBS adalah sebuah parti politik tempatan pelbagai kaum di Sabah yang tertubuh atas kehendak dan gerakan kebangkitan rakyat pada tahun 1985” kata Christoper dalam satu kenyataan media hari ini.

Christoper berkata, PBS bertanding dalam Pilihanraya negeri pada 16 Mac 1985 walaupun baru berusia 47 hari selepas didaftarkan secara rasmi pada 5 Mac tahun tersebut.

“Pada pilihanraya berkenaan PBS telah memenangi 25 daripada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Menurutnya, kemenangan itu walau bagaimanapun tidak disenangi oleh Kuala Lumpur. Akibatnya bermulalah layanan tidak adil dan dianaktirikan oleh Kuala Lumpur (KL). Pelbagai tohmahan dan tuduhan tidak berasas juga dilontarkan kepada PBS.

“Tekanan berterusan daripada pihak KL (dan para pemimpin parti yang kalah) bertujuan untuk mengganggu kestabilan politik (termasuk rusuhan) maka kerajaan yang baru dibentuk itu terpaksa dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRN semula pada bulan Mei tahun 1986.

“Kali ini, PBS bukan hanya menang tipis tetapi berjaya mengukuhkan kedudukannya dengan memenangi 34 daripada 48 kerusi iaitu kemenangan 2/3 di DUN Sabah.

“Malangnya, kemenangan besar berkenaan tidak menghentikan taktik dan usaha kotor pihak KL kepada kerajaan negeri Sabah di bawah PBS sehingga pada pilihanraya seterusnya yang diadakan tahun 1990.

“Di sinilah mereka mengarahkan dan menggerakkan seluruh jentera persekutuan untuk menghancurkan sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Antara pengkhianatan yang mereka lakukan ialah memanipulasi senarai pengundi dengan memasukkan pengundi-pengundi hantu yang telah mereka atur melalui projek IC. Perkara ini dilaporkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebelum ini. Bukan fitnah,” katanya.

Tambah beliau lagi, pada masa ini Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh UMNO telah melebarkan sayapnya ke Sabah.

“Di sebalik semua taktik tipu dan kotor yang dilakukan termasuk politik wang PBS masih mampu memenangi 25 kerusi berbanding 23 kerusi dimenangi oleh BN.

“Ada beberapa rentetan peristiwa yang saya pilih untuk tidak disebut kali ini. Peristiwa tersebut antara penyebab kepada kejatuhan kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada masa itu dan sememangnya didalangi oleh KL,” katanya.

Christoper berkata, persoalannya, siapa yang sebenarnya adalah pengkhianat?

“Kenyataan Bung Moktar bahawa PBS sebagai pengkhianat adalah tidak benar kerana penipu besar sebenarnya adalah UMNO sendiri.

“UMNO yang sebenarnya penyebab berlakunya kebanjiran PATI di Sabah, penyebab berlakunya ‘pengundi hantu’ di Sabah, penyebab pemberian IC palsu, penyebab politik wang dan pemecah-belah kerukunan dan perpaduan di Sabah,” jelasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular