TUARAN: Prihatin terhadap nasib warga emas yang parah akibat dihempap pokok, isteri Ketua Menteri, Datuk Seri Juliah Salag tampil mengusahakan bantuan berupa peralatan dan keperluan lain bagi membantu mangsa itu.
Atas inisiatif Juliah, Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) tampil memberikan bantuan yang diperlukan oleh mangsa, Rosiah Bakar, 62 tahun berupa “double fowler bed hi-lo”, “hoist patient lift”, “commode wheelchair”, diapers dewasa, susu Nestle oral impact dan lain-lain.
Penasihat Biro Kebajikan Task Force KDM N.12 Sulaman, Datin Alice Tee mewakili Juliah bersama Pengerusi Biro Kebajikan Task Force KDM, Juliah Indar serta jawatankuasanya mengiringi Pengarah YKS, Dg Rugayah Ag Besar menyerahkan bantuan itu kepada adik mangsa Norasiah Bakar di kediamannya di Kg Selupoh Tuaran, dekat sini.
Rosiah masih menjalani rawatan di hospital akibat cedera parah selepas tersepit dalam kereta, dalam insiden yang berlaku pada bulan Mac 2024 berhampiran Legasi Laya-Laya, Tuaran.
Juliah berharap dengan bantuan itu dapat membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh Rosiah dan keluarganya.