HomeUtamaKPDN tetapkan lapan barangan harga terkawal sempena Kaamatan, Gawai

KPDN tetapkan lapan barangan harga terkawal sempena Kaamatan, Gawai

Read Time:2 Minute, 18 Second

Papar:  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menetapkan sebanyak lapan jenis barangan yang diwartakan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai masing-masing mulai 27 dan 29 Mei ini.

Penetapan harga barangan terkawal berkenaan diumumkan oleh menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, di sini hari ini.

Katanya, tempoh pelaksanaan adalah selama tujuh hari iaitu tiga hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.

“KPDN akan melaksanakan SHMMP Pesta Kaamatan berkuat kuasa mulai 27 Mei sehingga 2 Jun manakala, Hari Gawai pula berkuat kuasa pada 29 Mei sehingga 4 Jun ini.

“Terdapat lapan jenis barangan akan diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP untuk Pesta Kaamatan iaitu kepak ayam, daging kerbau import (India), bawang merah kecil (India), bawang putih (China), cili kering keriting, daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak) serta babi hidup yang mana harga maksimum di peringkat ladang sahaja.

“Sementara itu, barangan harga terkawal bagi Hari Gawai pula terdiri daripada ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih (China), kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), cili kering keriting, daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak) dan babi hidup juga harga maksimum di peringkat ladang sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Program Kampung Angkat Madani KPDN dan Pesta Kaamatan Peringkat Kg Kaiduan di SK Kaiduan di sini.

Sementara itu, Armizan berkata, SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi membolehkan penentuan harga dibuat.

Katanya, harga maksimum yang telah ditetapkan untuk skim ini di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman sesawang KPDN di www.kpdn.gov.my.

“Pegawai-pegawai Penguatkuasa KPDN di seluruh negara akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.

“Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Katanya, individu yang disabitkan kesalahan kerana menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Manakala, syarikat yang disabitkan kesalahan pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, denda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 boleh dikenakan ke atas individu, sementara syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular