HomeUtamaJKDM tidak wajar diperkenalkan, dilaksana di Sabah - PH Sabah

JKDM tidak wajar diperkenalkan, dilaksana di Sabah – PH Sabah

Read Time:1 Minute, 31 Second

Kota Kinabalu : Pakatan Harapan (PH) Sabah berpendirian tegas bahawa Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) tidak wajar diperkenalkan dan dilaksanakan di Sabah. 

PH Sabah dalam satu kenyataan berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini telah meluluskan pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah.

“Pindaan itu kini memberi kuasa dan autonomi kepada Kerajaan Sabah untuk melantik dan mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sabah,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan itu turut berkata, setiap wakil rakyat PH Sabah menyokong pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar yang berniat untuk memberi kuasa autonomi kepada kerajaan Sabah untuk menguruskan hal ehwalnya. 

“Kami mengalu-alukan sebarang peruntukan persekutuan yang diberikan kepada Sabah khususnya untuk pembangunan dan manfaat masyarakat luar bandar di Sabah.

“Kami juga percaya bahawa peruntukan sebegini sebaiknya diuruskan oleh Kerajaan Sabah untuk memberi makna dan penghormatan terhadap undang-undang negeri Sabah,” tambah kenyataan itu lagi.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan telah menyerahkan watikah pelantikan JKDM kepada Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mewakili 132 pengerusi dan setiausaha jawatankuasa itu dari 66 kampung di Kinabatangan.

Dalam pada itu, PH Sabah juga menyedari bahawa terdapat banyak laporan dan spekulasi berkenaan dengan rakan gabungan politik parti itu di Sabah  dalam menghadapi pilihan raya negeri Sabah akan datang. 

“Ketika ini, PH Sabah masih belum membincangkan sebarang persefahaman atau kemungkinan gabungan baru yang akan dibentuk untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.

“Namun begitu, PH Sabah tetap kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Negeri serta menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji  Noor dan mahu melihat kerajaan ini mencapai tempoh penuh. 

“PH Sabah menggesa agar semua pihak memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini di bawah Kerajaan Madani,” menurut kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular