HomePendapatPencapaian pelajar bergantung kepada kualiti perguruan, prasarana sekolah

Pencapaian pelajar bergantung kepada kualiti perguruan, prasarana sekolah

Read Time:6 Minute, 49 Second

1.        Sekalung tahniah kepada Cikgu Sydney Engelbert yang telah di nobatkan oleh Cambridge University Press and Assessment sebagai Pemenang Global Cambridge Dedicated Teacher Awards 2024. Kejayaan ini amatlah membanggakan setelah beliau terpilih di kalangan 14,840 pencalonan dari 141 negara.

2.        Cikgu Sydney Engelbert merupakan anak kelahiran Tambunan, Sabah. Sejak 2019, beliau memulakan karier sebagai guru dan berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di Kolej Vokasional Keningau, Sabah. Menurut pihak Cambridge University Press and Assessment, pemilihan Cikgu Sydney Engelbert adalah berdasarkan usaha beliau meluaskan pengalaman antarabangsa para pelajar. 

3.        Pada tahun 2022, Cikgu Sydney Engelbert telah memulakan program pertukaran atas talian/ online exchange programme bersama beberapa sekolah vokasional di Malaysia, Filipina, Kemboja dan Indonesia. Menerusi program berkenaan, pelajar boleh meningkatkan kemahiran bahasa, dan juga memupuk pemahaman budaya serantau. Sejak di adakan, ianya telah dapat memberi manfaat kepada hampir 400 pelajar dan 50 guru dari sekolah-sekolah terbabit.

4.        Kejayaan Cikgu Sydney Engelbert Sabah adalah begitu istimewa memandangkan beliau merupakan guru ke-2 dari Sabah yang telah terpilih untuk anugerah yang sama. Pada tahun 2022, Cikgu Mohd Al-Khalifa Mohd Affnan telah di nobatkan sebagai Pemenang Global Cambridge Dedicated Teacher Awards 2022, terpilih di kalangan 7,000 pencalonan dari 113 negara.

5.        Perkara yang amat menakjubkan ialah Cikgu Mohd Al-Khalifa Mohd Affnan juga merupakan guru Bahasa Inggeris di Kolej Vokasional Keningau.

Dua pemenang dalam tempoh masa 2 tahun.Hebat sekali!

6.        Fakta menarik: Kolej Vokasional Keningau terletak 135km dari Kota Kinabalu. Ianya bermula sebagai Sekolah Menengah Vokasional pada tahun 1980, dan di naik taraf sebagai Kolej Vokasional pada tahun 2013. Kini, ianya menawarkan pelbagai program Diploma dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), antaranya: hospitaliti, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik, pengurusan perniagaan dan seni kulinari.

7.        Berita kejayaan ini adalah sesuatu yang menyegarkan kerana banyak berita dan cerita negatif telah di perkatakan mengenai sistem pendidikan di Sabah. Ini termasuklah isu-isu melibatkan guru, prasarana sekolah serta pencapaian pelajar. Hakikatnya, Sabah seolah-olah masih memiliki sistem pendidikan yang ‘ketinggalan zaman’ dan di cengkami dengan pelbagai isu legasi yang belum selesai. 

8.        Akibatnya, prestasi pencapaian pelajar sekolah di Sabah adalah agak jauh berbeza jika di bandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Tidak boleh di nafikan, pencapaian pelajar banyak bergantung kepada kualiti perguruan dan prasarana sekolah.

9.        Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 telah meletakkan Sabah di kedudukan terendah di Malaysia. Untuk SPM 2022 tersebut, nilai Gred Purata Negeri (GPN) Sabah adalah 5.22, berbanding dengan Gred Purata Nasional (4.74).

10.      Manakala, untuk SPM 2023 yang baru di umumkan hari ini, Sabah kekal di tangga terendah, walaupun nilai GPN Sabah telah bertambah baik kepada 5.09. Sabah adalah satu-satunya negeri yang mencatatkan nilai GPN melebihi 5.00.

11.      Pada masa yang sama, Sabah turut di kenal-pasti mempunyai ramai calon berdaftar yang tidak menduduki peperiksaan SPM. Sebagai contoh. Daripada sejumlah 40,147 calon SPM 2022 yang mendaftar di Sabah, 5,686 calon (14%) telah tidak hadir dan menduduki peperiksaan SPM tersebut.

Ini adalah sesuatu yang membimbangkan kerana jumlah calon tersebut (5,686 orang) merangkumi hampir 20% daripada keseluruhan calon berdaftar yang tidak menduduki SPM 2022 di seluruh negara.

12.      Manakala untuk SPM 2023, daripada sejumlah 38,800 calon berdaftar di Sabah, 4,658 calon (12%) telah tidak hadir dan menduduki peperiksaan SPM tersebut. Walaupun ada penurunan, ini masih jumlah yang besar.

13.      Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah (JPNS), aspirasi JPNS ialah bagi Sabah mencatatkan nilai GPN di bawah 5.00 untuk peperiksaan SPM. Beliau menegaskan aspirasi ini hanya dapat di capai dengan kualiti guru yang baik serta prasarana sekolah yang bagus.

14.      Ketika ini, Sabah menghadapi masalah prasarana sekolah yang serius. Ini melibatkan infrastruktur sekolah yang daif dan tidak selamat, serta kemudahan dan kelengkapan sekolah yang tidak mencukupi. Menurut rekod Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) 2022, daripada sejumlah 1,292 buah sekolah di seluruh Sabah, sebanyak 704 sekolah (54.5%) di kenal-pasti sebagai daif dan memerlukan pembaikan segera.

15.      Tambahan lagi, menurut data terkini JPNS, sehingga Jun 2023, banyak sekolah masih tidak memikili kemudahan asas bekalan elektrik dan air yang baik.

Sebagai contoh. Hanya 580 buah sekolah (45%) memiliki bekalan air bersih, daripada sejumlah 1,297 buah sekolah di Sabah.

Sumber: Portal Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS)
 

16.      Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sabah sedang giat berusaha untuk menangani isu prasarana sekolah di Sabah. Pada April 2024, Menteri Pendidikan Malaysia telah memaklumkan bahawa 218 (69%) daripada 318 projek pembinaan semula sekolah daif di Sabah telah selesai. Manakala, 60 projek sedang dalam pembinaan, dan 60 projek di peringkat prabina. Projek-projek berkenaan di laksanakan menerusi peruntukan lebih RM 3 billion.

17.      Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah (JPNS), aspirasi JPNS ialah untuk menyelesaikan isu sekolah daif dan mensifarkan bilangan sekolah daif di Sabah menjelang tahun 2029.

18.      Kesungguhan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sabah untuk menyelesaikan isu prasarana sekolah di Sabah sudah pasti dapat menggembirakan rakyat Sabah. Untuk sekian lama, dari generasi ke generasi, ramai rakyat Sabah terpaksa mengharungi alam persekolahan di sekolah yang di selubungi dengan kedaifan dan serba kekurangan.

Penantian rakyat Sabah seumpama peribahasa: yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang.
 19.      Prasarana sekolah yang baik dan selesa, serta kelengkapan sekolah yang mencukupi dapat menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif kepada guru dan pelajar untuk mencapai kecemerlangan. Guru akan dapat meningkatkan kualiti pengajaran. Pelajar pula dapat meningkatkan fokus kepada pembelajaran.

20.      Pada awal Mac 2024, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah (JPNS) menyatakan bahawa Sabah mempunyai bilangan guru yang mencukupi, dengan pengisian jawatan guru mencapai 98%. Beliau menyatakan bahawa dengan jumlah guru yang mencukupi, proses Pengajaran & Pembelajaran (P&P) di sekolah boleh di laksanakan dengan lancar dan baik.

21.      Di samping itu, menurut Menteri Pendidikan Malaysia, pada tahun 2023, Sabah memiliki nisbah guru kepada pelajar yang setanding dengan Semenanjung Malaysia:

  • sekolah rendah:

Sabah: (1 guru: 11.70 pelajar), S. Malaysia: (1 guru: 12.87 pelajar)

  • sekolah menengah:

Sabah: (1 guru: 12.87 pelajar), S. Malaysia: (1 guru: 11.26 pelajar)

22.      Sabah juga memiliki nisbah guru lelaki dan wanita yang lebih seimbang berbanding dengan nisbah negara. Berdasarkan data terkini Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, sehingga Jun 2023, pecahan guru di Sabah adalah: lelaki (15,812 orang: 36.5%), dan wanita (27,537 orang: 63.5%).

Manakala, menurut data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pada tahun 2022, pecahan guru di Malaysia adalah: lelaki (119,979 orang: 28.7%) dan wanita (298,565 orang: 71.3%).

23.      Ketidakseimbangan nisbah yang ketara boleh menjejaskan pembelajaran dan aktiviti di sekolah.

Sumber: Portal Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS)

24.      Pada masa yang sama, data Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menunjukkan majoriti guru di Sabah, melebihi 85%, adalah anak kelahiran Sabah. Jumlah guru tempatan yang begitu ramai dapat melancarkan sesi pengajaran & pembelajaran di sekolah, dan juga memudahkan pengurusan guru di Sabah.

25.      Sebagai seorang guru kelahiran Sabah dan berkhidmat di Sabah, kejayaan Cikgu Sydney Engelbert sudah pasti akan mendorong lebih ramai anak Sabah untuk menabur bakti di Sabah dan menjayakan agenda pembangunan Sabah.

26.      Aspirasi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan pencapaian pelajar boleh tercapai dengan adanya guru muda yang berwawasan dan berdedikasi seperti Cikgu Sydney Engelbert dan Cikgu Mohd Al-Khalifa Mohd Affnan.  

27.      Presiden Sukarno pernah berkata:

“Beri aku 1,000 orang tua, niscaya akan ku cabut semeru dari akarnya, Beri aku 10 pemuda, niscaya akan ku guncangkan dunia”

28.      Sabah kini sudah ada 2 ‘pemuda’ tersebut. Tinggal lagi lapan.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Menanti Hadiah Istimewa Sempena Sambutan Hari Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular