HomeUtamaDBKK serius dalam pengurusan pokok matang, elak risiko keselamatan warga bandar raya

DBKK serius dalam pengurusan pokok matang, elak risiko keselamatan warga bandar raya

Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengambil tindakan serius dalam meningkatkan tahap dan kualiti pengurusan pokok-pokok matang di sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

Ini berikutan cuaca hujan lebat dan angin kencang yang sering melanda Kota Kinabalu mutakhir ini.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, DBKK melalui Jabatan Landskap akan menggandakan tindakan pemeriksaan dan penyelenggaraan rapi ke atas pokok-pokok matang mengikut jadual dan akan dilaksanakan secara bulanan.

“Kerja-kerja pemangkasan dahan pokok juga akan dilakukan dari semasa ke semasa selain meneliti tahap kesihatan pokok bagi mengenal pasti risiko pokok tumbang, selain menggandakan tindakan pemeriksaan kesihatan pokok dan penyelenggaraan pokok secara menyeluruh.

“Kerja-kerja pemangkasan pokok itu dibuat mengikut jadual di semua kawasan, tetapi tumpuan akan diberikan pada pokok- pokok matang di kawasan jalan-jalan utama.

“Disamping itu, penjagaan dan pemantauan kesihatan pokok yang efektif serta penyelenggaraan pokok yang rapi mengikut amalan arborikultur yang betul adalah sangat penting untuk dilaksanakan bagi mengelak berlakunya kes pokok tumbang sehingga mengakibatkan korban nyawa dan kerosakan harta awam,” kata kenyataan itu.

Untuk rekod, sehingga kini, 18,756 pokok matang atau pokok yang berusia berada di bawah seliaan DBKK dan kesemuanya akan terus dipantau dengan lebih teliti mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Selain daripada itu, menurut kenyataan itu lagi, DBKK juga telah merangka Pelan Pengurusan Pokok Matang yang komprehensif.

“Pelan tersebut merangkumi pelan mitigasi pokok dan beberapa pelan tindakan lain yang menyeluruh yang akan segera dilaksanakan.

“Antara pelan tindakan tersebut termasuklah memperkemas inventori pokok, membuat pembelian jentera baharu, menambah bilangan kakitangan, memberikan latihan kemahiran pemangkasan pokok, menyediakan garis panduan tangani pokok berisiko dan garis panduan kerja utiliti melibatkan pokok serta meningkatkan tindakan pemeriksaan pokok oleh arborist bertauliah.

“DBKK memberi perhatian terhadap aspek pengurusan pokok kerana pokok-pokok yang diurus dan diselenggara dengan baik bukan sahaja dapat mengelak risiko bahaya, tetapi juga dapat memberi faedah pada aspek fungsi, estetika dan ekologi dalam menghasilkan persekitaran yang kondusif serta berkualiti.

“Justeru itu, DBKK akan sentiasa meneruskan usaha dalam memelihara kelestarian alam sekitar dan meningkatkan tahap keselamatan warga bandar raya Kota Kinabalu,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

ESSCOM lancar OGL Khas, lumpuhkan kegiatan JRS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular