Putrajaya : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menjadi Majlis Agama Negeri yang pertama di Malaysia memperoleh lesen ‘Network Facility Provider’ (NFP) melalui anak syarikat MUIS Holdings Sdn Bhd.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, lesen itu membolehkan MUIS Holdings Sdn Bhd membina dan mendirikan menara telekomunikasi sendiri khususnya dalam memajukan tanah-tanah wakaf dan pelaburan.
Katanya, ia juga akan turut membantu semua masjid dan surau untuk menjana pendapatan bagi menyediakan kemudahan ibadah yang selesa kepada umat Islam.
“Saya berharap MUIS dapat mengaktifkan segmentasi telekomunikasinya dengan melatih dan memberikan pekerjaan kepada anak-anak dari kalangan keluarga asnaf, sekaligus meningkatkan ekonomi keluarga mereka.
“MUIS juga boleh mengusahakan inisiatif untuk melaksanakan Wakaf Telekomunikasi bagi membantu kawasan-kawasan di luar bandar yang memerlukan jaringan internet, terutamanya untuk pembelajaran anak-anak di kawasan tersebut.
“Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan operator-operator rangkaian di Malaysia seperti CelcomDigi, U-Mobile, Maxis, dan yang lain-lain adalah sangat dialu-alukan,” katanya.
Terdahulu, MUIS telah memperoleh lesen NFP yang telah diluluskan dan diserahkan sendiri oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada 23 Mei lalu di pejabatnya di Putrajaya.
Arifin berkata, beliau turut yakin dan percaya dengan bimbingan, panduan serta nasihat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pelbagai pihak pasti akan diangkat ke tahap yang terbaik. – SABAH MEDIA