Kota Kinabalu : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Sabah untuk lawatan kerja sehari di sini semalam.
Pesawat khas yang membawa beliau dan rombongan tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 11.50 malam semalam.
Mengiringi beliau adalah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Hadir menyambut ketibaan beliau ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Turut menyambut ketibaan, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong.
Anwar dijadual akan merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024 pada jam 10 pagi ini di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang sebelum meneruskan lawatan kerja ke Wilayah Persekutuan Labuan pada sebelah petang.