HomeUtamaKerajaan negeri komited memartabat warisan budaya, kesenian rakyat Sabah

Kerajaan negeri komited memartabat warisan budaya, kesenian rakyat Sabah

Read Time:2 Minute, 28 Second

PENAMPANG: Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah akan melaksanakan beberapa program kebudayaan yang penting pada tahun ini, bagi memastikan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan dapat dipertahankan dari generasi ke generasi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara program itu ialah “Pembangunan Komuniti” melalui modul Protokol Budaya Komuniti yang akan memberi manfaat kepada komuniti pelancongan luar bandar dan badan kebudayaan dalam meningkatkan pengurusan dan layanan pelancongan budaya yang bertaraf dunia.

Selain itu katanya, projek meningkatkan produk pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Tenom juga akan dilaksanakan pada tahun ini, selain memperkasa Cultural PitStop (CPS) yang terletak di Tawau, Kota Belud, Sandakan, Tenom termasuk tiga lagi lokasi lain iaitu Dataran Wisma Budaya, Ranau dan Keningau.

“Program-program itu bertujuan memastikan khazanah yang diwarisi ini dapat dipertahankan dari generasi ke generasi”, katanya pada Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA pada Jumaat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim menyempurnakan penutupan pesta itu. Ini merupakan kali kedua Anwar hadir ke Pesta Kaamatan Peringkat Negeri.

Hajiji berkata, sambutan Pesta Kaamatan amat signifikan dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memartabatkan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan.

“Kita juga menyedari bahawa kekayaan tradisi budaya dalam kepelbagaian etnik merupakan aset penting dalam sektor pelancongan yang akan terus dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang.

“Sebab itu, Kerajaan Negeri amat menyokong usaha mengembangkan dan mempertahankan budaya serta kesenian setiap etnik menerusi persatuan masingmasing agar warisan budaya berharga ini berkekalan”, katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) terus komited dengan usaha meningkatkan tahap sara diri hasil pertanian terutamanya padi bagi memperkukuh keterjaminan makanan, khususnya komoditi beras.

Justeru katanya, pada April lalu Kabinet Negeri bersetuju menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah sebagai sebahagian inisiatif meningkatkan pengeluaran serta keselamatan makanan di negeri ini, selain melaksanakan beberapa inisiatif lain bagi meningkatkan taraf sara diri atau (SSL).

Menurutnya, usaha ini termasuklah memberi penekanan kepada pembangunan padi tanah kering (penanaman padi bukit) pada tahun ini, mamandangkan Jabatan Pertanian Sabah (JPS) mempunyai sebanyak 404 koleksi aksesi (jenis padi tanah kering) dalam gen bank janaplasma padi.

Hajiji berkata, mengikut statistik JPS pada tahun 2021, dianggarkan seluas 13,733 hektar kawasan ditanam padi tanah kering merangkumi 17 buah daerah di seluruh Sabah antaranya di daerah Ranau, Tongod, Kota Marudu, Penampang, Tuaran, Nabawan dan Pitas.

Katanya, perayaan Pesta Kaamatan selain merupakan medan untuk mengetengahkan budaya dan seni masyarakat KDMR di negeri ini, juga mampu menyatukan semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan budaya di negeri ini.

“Sebab itu, perpaduan dalam kepelbagaian suku kaum, budaya serta kepercayaan agama di Sabah adalah aset penting yang perlu dipelihara dan dipertahankan oleh rakyat negeri ini. Ini kerana keharmonian dan warna-warni kepelbagaian yang menjadikan Sabah unik serta istimewa selain memiliki keindahan kebudayaan dan kesenian yang tersendiri.

“Kita perlu sematkan dalam diri masing-masing bahawa hanya dengan kestabilan dan perpaduan sahajalah yang mampu membawa sesebuah negara dan rakyatnya maju ke hadapan sekali gus dihormati dan disegani oleh masyarakat antarabangsa”, katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pelajar Kolej Vokasional Keningau Wakili Malaysia di Taipei 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular