HomeUtamaPengurusan TH urus bakal jemaah haji lima bintang - Mutahar

Pengurusan TH urus bakal jemaah haji lima bintang – Mutahar

Read Time:1 Minute, 22 Second

Kota Kinabalu : “Pengurusan Tabung Haji (TH) dalam menguruskan bakal jemaah haji boleh diberikan lima bintang,” kata Mutahar Abas,56.

Beliau merupakan antara 134 bakal jemaah haji kumpulan pertama dari Sabah yang berlepas pada jam 11.05 malam tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Penerbangan Mutahar yang ditemani isteri, Raha Mohammad Said dan ibu mertuanya Jawahil Baharom bersama bakal jemaah haji lain transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki pesawat sewa khas haji untuk ke Tanah Suci yang dijadual berlepas pada hari yang sama.

“Selain apa yang disarankan, saya ingin ucapkan terima kasih pada TH sebab saya lihat apa yang mereka buat ini banyak mempermudahkan urusan kita melaksanakan haji ini.

“Pengurusan TH saya memang puas hati, saya boleh bagi lima bintang,” katanya ketika ditemui di KKIA, di sini, malam tadi.

Majlis pelepasan bakal jemaah haji kumpulan pertama itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Hadir mengucapkan selamat jalan isterinya Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag.

Terdahulu, Mutahar mengakui bersyukur apabila terpilih menjadi antara bakal jemaah haji dari Sabah selepas menanti panggilan lebih 15 tahun.

“Saya mula mendaftar pada 2009, Alhamdulilah lebih kurang 15 tahun menunggu, tahun ini terpilih bagi menjadi tetamu Allah.

“Dalam tempoh itu, saya tidak pernah merayu dan hanya menanti untuk dipanggil dan perasaan amat gembira lebih-lebih lagi apabila dapat mengerjakan haji bersama isteri dan ibu mertua,” katanya.

Mutahar yang bekerja di sebuah bank di Beaufort berharap agar terus diberi kesihatan dan dapat mengerjakan ibadah haji dengan sempurna seterusnya mendapat haji yang mabrur. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sambutan Hari Malaysia disifatkan bawa makna besar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular