HomeUtamaJKDM Sabah rampas tiga kontena seludup minuman keras lebih RM1.5 juta

JKDM Sabah rampas tiga kontena seludup minuman keras lebih RM1.5 juta

Read Time:3 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menahan tiga kontena dan merampas pelbagai jenis minuman keras dipercayai cuba diseludup ke negara ini dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan lebih RM1.5 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, pada 24 April 2024, lebih kurang 10.50 pagi, bertindak berdasarkan maklumat, pasukan serbuan yang terdiri daripada anggota di bawah Cawangan Import Eksport Pelabuhan Sepanggar dan Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu telah berjaya menahan dua buah kontena disyaki berisi minuman keras yang cuba diseludup masuk ke dalam negara ini melalui Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Hasil pemeriksaan awal terhadap kontena yang ditahan, pasukan serbuan Kastam telah menjumpai sejumlah 47,520.00 liter minuman keras jenis bir dengan anggaran nilai harga RM202,276.80 dan jumlah anggaran nilai duti serta cukai yang terlibat adalah berjumlah RM815,807.52

“Manakala pada hari dan lokasi sama, jam lebih kurang 3.39 petang, pasukan operasi tersebut berjaya menahan sebuah lagi kontena berisi 22,887.92 liter minuman keras pelbagai jenis dengan anggaran nilai harga masing-masing RM96,165.44 dan jumlah anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM388,439.13,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Nasir turut memaklumkan pada 22 Mei 2024, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sabah telah melaksanakan OPS Tuai 2024 yang turut berjaya merampas pelbagai jenis dan jenama minuman keras berjumlah 16,767.59 liter dengan nilai harga berjumlah RM 80,453.19 dan anggaran nilai cukai serta duti terlibat berjumlah RM290,155.76.

“Turut dirampas pelbagai jenis dan jenama rokok berjumlah 15,480 batang dengan anggaran nilai harga berjumlah RM1,874.40 dan anggaran cukai serta duti terlibat berjumlah RM9,164.64.

“Selain itu dua buah lori, sebuah van dan sebuah kenderaan Perodua Viva yang disyaki digunakan untuk menyimpan minuman keras turut dirampas di dalam operasi ini dengan anggaran nilai harga keseluruhan RM75,000.00. Jumlah keseluruhan nilai rampasan semasa operasi ini adalah RM456,647.99,” katanya.

Beliau berkata, OPS TUAI 2024 di kawasan yang disasarkan untuk menyekat penjualan dan pengedaran barang-barang seludup khususnya rokok, minuman keras, mercun dan bunga api menjelang musim perayaan Pesta Kaamatan di Sabah.

“Operasi ini telah diketuai oleh Ketua Cawangan Operasi, Marin & Khidmat Sokongan (OMKS) Kota Kinabalu selaku Pengarah Operasi dan dibantu seramai empat (4) orang Pegawai Kanan dan 53 orang Anggota Operasi Kastam dari pelbagai stesen.

“Operasi ini telah dilaksana meliputi kawasan Ranau, Kota Kinabalu, Papar, Kuala Penyu, Beaufort, Sipitang. Tenom dan juga Keningau,” jelasnya.

Menurutnya, sepanjang tempoh lapan hari operasi dijalankan, sebanyak 13 kes telah berjaya diperolehi di mana lima kes daripadanya adalah kes tangkapan yang melibatkan seorang warga asing berumur 41 tahun dan empat orang warga tempatan berumur 19 hingga 31 tahun.

“Modus operandi bagi kes minuman keras yang cuba dibawa masuk melalui Pelabuhan Sepanggar adalah membuat pemalsuan maklumat pada dokumen seperti bill of lading dan manifest untuk diikrar sebagai barang lain dalam usaha mengaburi mata pihak berkuasa dalam menjalankan penyeludupan.

“Manakala modus operandi bagi kes rokok dan minuman keras yang diperolehi semasa OPS TUAI 2024 adalah menyembunyikan barang tak berkastam dengan niat mengelak cukai dan mendapatkan kelebihan perniagaan di pasaran tempatan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang-barang larangan yang tertakluk pada butiran tiga(3), jadual ketiga, bahagian dua (2) Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan menyimpan barang larangan.

“Jika sabit kesalahan, kesalahan pertama memperuntukkan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda amaun duti kastam atau seratus ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak lebih dari dua puluh kali ganda amaun duti kastam atau lima ratus ribu ringgit mengikut mana-mana yang lebih besar, atau dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” tegasnya.

Justeru, beliau menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular