HomeUtamaInisiatif MAFFI perlu utamakan golongan miskin tegar

Inisiatif MAFFI perlu utamakan golongan miskin tegar

Read Time:1 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) diarah agar dapat mengutamakan golongan miskin tegar dalam pelan tindakan dan program kementerian itu sebagai sebahagian daripada inisiatif membasmi kemiskinan tegar di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, MAFFI tidak boleh melupakan golongan miskin dalam perancangan yang mereka laksanakan.

“Di bawah data eKasih setakat 18 Mei tahun ini, ketua isi rumah (KIR) miskin tegar Sabah menurun kepada 8,699 orang.

“Saya harap lebih banyak inisiatif di bawah MAFFI akan melibatkan golongan berkenaan bagi memastikan mereka dikeluarkan daripada kemiskinan tegar,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat MAFFI di Wisma Pertanian di sini semalam.

Hajiji berkata, berdasarkan taklimat empat jabatan dan empat agensi di bawah MAFFI, rancangan sedia ada ditempatkan untuk memacu industri pertanian, perikanan dan makanan Sabah ke hadapan.

Katanya, apa yang penting, Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) yang diluluskan baru-baru ini mesti dilaksanakan secepat mungkin bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) makanan di Sabah.

Beliau juga mahu syarikat berkaitan kerajaan yang memiliki tanah tidak digunakan agar dapat dibangunkan untuk pertanian, khususnya padi seperti yang diamanahkan oleh kabinet negeri.

Tambahnya, dalam hal sedemikian, MAFFI boleh memberikan bantuan untuk menyediakan sumber yang diperlukan.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, menerusi penubuhan LPBS, MAFFI menetapkan matlamat untuk meningkatkan SSL Sabah kepada 65 peratus pada 2030 dan 100 peratus pada 2035.

Jeffrey berkata, kementeriannya sedang dalam proses melantik 15 ahli lembaga pengarah termasuk Pengerusi LPBS.

Katanya, tumpuan LPBS adalah untuk meningkatkan hasil padi daripada purata 2.9 tan metrik kepada tujuh tan metrik sehektar menjelang 2030.

Selain itu pihaknya juga mahu membangunkan sawah padi terbiar untuk menambah keluasan dan membuka sawah padi baharu melalui kerjasama dengan pelaburan syarikat bukan kerajaan (GLC) negeri dan swasta.

Beliau berkata, bidang kuasa LPBS akan merangkumi pengeluaran lesen dan permit eksport dan import serta pembungkusan dan penjualan padi serta beras di Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular