Kota Kinabalu : Pemasangan unit peranti satelit Starlink di negeri ini akan terus giat dilaksanakan khususnya di kawasan pedalaman bagi membantu merapatkan jurang digital penduduk setempat termasuk di kawasan sekolah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia merupakan salah satu agenda Kerajaan bagi memastikan penduduk dan sekolah di kawasan pedalaman turut mendapat manfaat dari keperluan digital yang disediakan Kerajaan.

“Baru-baru ini saya ada bertemu Menteri Komunikasi dan membawa perkara mengenai pendigitalan di Sabah khususnya di kawasan pedalaman termasuklah di sekolah-sekolah di negeri ini dan bagaimana untuk kita membantu para pelajar.
“Kerajaan negeri juga telah memperuntukan untul membina atau meletakkan unit Starlink kerana ia sangat baik. Tahun ini kita akan pasang 300 unit dan lebih 200 unit sudah kita tempatkan di kawasan sukar untuk dapat capaian internet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan bersama agensi agama ke Masjid Jamek Kampung Sembulan di sini hari ini.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, selain pemasangan unit Starlink, hab rangkaian gentian optik titik kehadiran atau Point of Presence (PoP) juga akan diberi perhatian khususnya di sekolah-sekolah yang memerlukan talian sambungan internet.

“Demikian juga dengan Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu iaitu pembinaan menara. Pada masa ini kita pantau sehabis baik.
“Seperti mana Menteri Komunikasi nyatakan sebelum ini, beliau juga mahu pada tahun ini akan lebih banyak pembinaan menara dapat dijayakan dan InsyAllah ini semua berjalan baik. Kita akan mudahkan sambungan internet ini,” katanya. – SABAH MEDIA