TAWAU: Warga emas maut putus kaki kanan selepas motosikal yang diboncengnya bersama seorang remaja terlibat dalam kemalangan di Kilometer 27 Jalan Tawau – Semporna petang kelmarin (5 Jun).
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 3.55 petang itu ketika pemandu seorang lelaki, 45, memandu MPV jenis Perodua Alza bersama seorang penumpang dari arah Lapangan Terbang Tawau menuju ke Bandar Tawau, manakala penunggang motosikal jenis Honda seorang pelajar lelaki berumur 15 tahun bersama seorang pembonceng lelaki berumur 70 tahun dari arah Inderasabah menuju ke Kampung Blok 31, Jalan Apas.
“Apabila tiba di tempat kejadian, penunggang motosikal tiba-tiba ubah haluan ke lorong kanan lalu masuk ke laluan MPV, kerana jarak yang terlalu dekat, pemandu MPV tidak sempat mengelak lalu terlanggar di bahagian belakang tayar sebelah kiri.
“Selepas perlanggaran, MPV terpusing dan terseret hingga ke bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Jasmin berkata, akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang MPV tidak mengalami sebarang kecederaan, namun penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian kepala dan pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dan putus kaki sebelah kanan.
Katanya, polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen. 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.