Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mengulangi pendirian meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk terus mengekalkan jururawat yang bertugas di negeri ini dan tidak ditukar ke Semenanjung atau Sarawak.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, ini berikutan terdapat jururawat yang berasal dari Sabah ditukarkan ke Semenanjung dan Sarawak.
“Di negeri Sabah, pelbagai isu dan permasalahan dihadapi oleh jururawat-jururawat bukan sahaja di kawasan luar bandar, pedalaman, malah di kawasan bandar.
“Justeru selaku Exco Kesihatan Negeri Sabah, saya meminta KKM mengekalkan jururawat yang bertugas di Sabah dan tidak ditukar ke Semenanjung atau Sarawak.
“Sabah sendiri amat memerlukan lebih ramai jururawat untuk ditempatkan di hospital dan klinik di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung Persatuan Jururawat Malaysia yang ke-74 di Pusat Konvonsyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.
James yang juga Exco Kesihatan Sabah berkata, sehingga kini perjawatan bagi jururawat semasa di negeri ini adalah seramai 11,245 orang.
Katanya, dari jumlah itu seramai 10,286 orang telah diisi dan masih terdapat 959 kekosongan jawatan yang belum diisi.
“Merujuk kepada statistk tersebut, tiada keperluan untuk jururawat di negeri ini ditukarkan ke Semenanjung atau Sarawak.
“Malah kami di sini memohon kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) supaya kekosongan yang berjumlah 959 diisi oleh mana-mana Jururawat Terlatih yang masih menganggur di negeri Sabah.
“Ini termasuklah pekerja di bawah MySTEP agar dipertimbangkan untuk diserap ke jawatan tetap KKM,” katanya.
Dalam pada itu, James turut meminta KKM agar dapat melihat dengan sewajarnya isu kebajikan para jururawat yang bertugas khususnya di kawasan luar bandar atau pedalaman.
“Dalam beberapa siri lawatan saya ke hospital, klinik-klinik kesihatan dan klinik desa di seluruh negeri Sabah, saya dapati masih terdapat petugas terutamanya jururawat tidak mempunyai kemudahan tempat tinggal atau kuarters yang sempurna.
“Saya amat simpati dengan keadaan mereka, sedangkan mereka adalah sebahagian petugas barisan hadapan,” katanya. – SABAH MEDIA