HomeUtamaKetua Penerangan Gagasan Rakyat peringkat bahagian perlu kuasai teknologi media sosial -...

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat peringkat bahagian perlu kuasai teknologi media sosial – Nizam

Read Time:2 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU : Ketua-ketua Penerangan Gagasan Rakyat peringkat bahagian diminta menguasai kemahiran dan pengetahuan mengenai teknologi media sosial untuk dimanfaatkan dalam mengukuhkan gerak kerja parti.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tanpa kemahiran dalam dunia teknologi digital yang kini menguasai banyak aspek kehidupan, setiap individu dan organisasi akan ketinggalan dengan perubahan semasa.

Menurut beliau, bagi meningkatkan kemahiran tersebut, ketua-ketua penerangan serta biro penerangan peringkat bahagian perlu menyusun program berkaitan supaya setiap ahli mampu menguasai teknologi digital hari ini.

Katanya, untuk mendekati orang ramai pada masa ini bukan sahaja bergantung kepada kaedah bersemuka tetapi perlu diperkukuh dan diperkuatkan melalui sistem maya yang semakin canggih.

“Biro Penerangan yang berkenaan perlu melaksanakan secara berkala kursus-kursus berkaitan media sosial, aplikasi dan kaedah jaringan Facebook, Page, Instagram, X malah TikTok yang semakin popular hari ini.

“Mereka juga perlu didedahkan dengan pengisian atau content yang menepati cita rasa golongan sasar yang pelbagai hari ini. Untuk mendekati orang ramai apa sahaja kaedah perlu dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Biro Penerangan Gagasan Rakyat Sabah di Alamesra di sini semalam.

Turut hadir sama Senator Anna Bell Perian yang juga Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat serta jawatankuasa Biro Penerangan Gagasan Rakyat.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas berkata, media sosial bukan sahaja membolehkan penyebaran maklumat menjadi mudah tetapi juga membolehkan pemimpin mengetahui isu-isu yang berbangkit di peringkat akar umbi.

“Melalui media sosial kita bukan sahaja boleh mengawal maklumat untuk disampaikan tetapi juga menerima maklumat daripada bawah untuk diberi perhatian. Dalam hal ini, kita boleh mengenal pasti isu-isu yang berbangkit di 74 bahagian yang kita ada,” ujar beliau.

Katanya, oleh kerana media sosial mempunyai pengaruh yang besar kepada orang ramai dan mampu mempengaruhi corak pemikiran rakyat, seharusnya setiap jentera Biro Penerangan mempunyai keupayaan untuk mengawal sebarang dakyah yang disebarkan.

Malah, katanya, mereka seharusnya mampu mendidik pengguna media sosial supaya menjadikan platform media sosial itu sebagai pemangkin kepada kemajuan ekonomi.

“Jika digunakan untuk menyebarkan maklumat yang baik, dijadikan platform untuk perniagaan, saya percaya penggunaan media sosial ini mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi masyarakat.

“Oleh itu, kita tidak lagi boleh ketinggalan dan perlu menjadi peneraju kepada komuniti alam maya ini. Kita tidak boleh menjadi sekadar pengikut atau follower. Kita yang menyediakan content atau pengisian yang sesuai, membina fikiran, meningkatkan kefahaman mengenai organisasi dan dasar kerajaan serta pelbagai lagi ilmu pengetahuan,” tambah beliau.

Jelas Nizam platform media sosial yang berkembang seiring teknologi semasa seharusnya menjadi satu kelebihan yang digunakan untuk jaringan perhubungan dan sumber maklumat yang mampu membawa faedah kepada masyarakat.

“Wajar untuk kita faham bahawa media sosial adalah sebuah platform untuk kita bersosial dan menambah kenalan, secara dalam talian.

“Dengan media sosial, kita boleh berkongsi maklumat, info semasa, foto dan video berfaedah yang boleh digunakan oleh semua penggunakan media sosial yang lain, bagi tujuan kebaikan,” tambahnya.

Terdahulu Nizam menerima kunjungan hormat Penerangan bahagian Tulid dari empat peringkat iaitu bahagian, Wanita, Pemuda dan Beliawanis di ketuai oleh Joss Amit selaku Ketua Penerangan bahagian Tulid, Ketua Penerangan Wanita, Rusidah Linggi, Ketua Penerangan Pemuda, Lukman Agustine Ketua Penerangan Beliawanis, Evannie Chrisha Damianus beserta dengan ahli jawatankuasanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Gagasan Rakyat Likas jadi rakan strategik DBKK bagi penduduk di DUN...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular