HomeIsu tempatanMaritim Malaysia patahkan aktiviti mengebom ikan

Maritim Malaysia patahkan aktiviti mengebom ikan

Read Time:1 Minute, 21 Second

Lahad Datu : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan aktiviti mengebom ikan yang dilakukan lebih kurang 2.2 batu nautika di kawasan Selatan Pulau Kun Kun, Lahad Datu semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna Razali Chan berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya telah berjaya mengesan dua buah bot pam berwarna biru putih dan oren melalui aduan awam lebih kurang  jam 6.16 petang dan 6.31 petang pada hari yang sama.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 melibatkan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya.

“Empat kru bot dipercayai warga Bajau Palauh yang berusia antara 20 tahun hingga 40 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan tidak memiliki lesen serta nombor pendaftaran yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Suzanna berkata, pihaknya turut merampas dua buah enjin bot, dua hos berserta kompresor, dan dua botol bom ikan di mana kesemua rampasan bernilai lebih RM5,000.

Katanya, komuniti maritim terutamanya di Sabah diingatkan agar tidak melakukan aktiviti bom ikan kerana aktiviti ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah membawa kesan negatif kepada ekosistem akuatik dan juga membahayakan nyawa serta aktiviti menyelam.

“Zon Maritim Lahad Datu memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Lahad Datu agar terus memberi kerjasama dengan melaporkan jika terdapat sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan mahupun sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 089-885727 (Pusat Operasi Lahad Datu) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 100 pengunjung meriahkan Christmas @ KK Sentral Riverside Market

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular