HomeUtamaProgram Sabah M2H, dahulukan rakyat Malaysia - Yong

Program Sabah M2H, dahulukan rakyat Malaysia – Yong

Read Time:3 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee menggesa kerajaan negeri mengambil cadangannya yang dibuat pada Ogos 2023 bahawa program Sabah My Second Home (SM2H) didahulukan untuk warga Malaysia (bukan warga Sabah) melabur dalam hartanah di Sabah.

Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik berkata memandangkan Sabah M2H hanya terhad kepada rakyat Malaysia yang lain dan bukan warga asing, program ini adalah dalam kuasa imigresen sepenuhnya kerajaan Sabah.

Katanya, bagi pembelian hartanah pula, pemindahan dana dalam Malaysia (ke Sabah) adalah proses yang mudah.

“Program semudah itu boleh dilaksanakan pada 1 Januari 2024. Ini tidak sama dengan Malaysia My Second Home (MM2H) Sabah yang ditujukan kepada bukan warganegara Malaysia. Ini adalah SM2H untuk rakyat Malaysia.

“Apabila pihak berkuasa Sabah telah membuktikan dirinya cekap mengendalikan SM2H, maka Sabah boleh mula melaksanakan program MM2H kemudiannya pada tahun ini,” jelas Yong.

Tambah beliau, pada masa ini, ahli perniagaan Sabah pun tidak begitu memahami bagaimana program MM2H berfungsi.

“Apabila saya bertanya soalan di Dewan Undangan, tiada jawapan yang memuaskan diberikan.

“Semoga, selepas program SabahM2H kita sendiri telah dilaksanakan, Menteri Pelancongan Sabah kita akan menyedari kebijaksanaan dan mencari masa yang sesuai untuk melibatkan diri dengan Kementerian Pelancongan Persekutuan untuk bergerak ke hadapan dalam MM2H,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mengenai program MM2H, Yong berkata, pelabur MM2H mahukan keyakinan.

“Dalam kes MM2H, pemohon adalah ahli perniagaan asing. Sebagai warganegara asing, mereka pasti mahu benar-benar meyakini bahawa pelaburan mereka akan diberi keistimewaan pemastautin. Namun pertikaian pendapat antara Menteri Sabah dan Menteri Persekutuan berhubung program MM2H, keyakinan pelabur telah hilang.

“Pelabur asing bukan bodoh. Khususnya, pemohon asing untuk MM2H mengingati pengalaman pahit di Forest City Johor di mana mereka terpikat dengan janji-janji yang tidak jelas mengenai keistimewaan pemastautin di Malaysia dan juga Singapura.

“Jadi, tanpa komitmen yang jelas dan tidak berbelah bahagi oleh kedua-dua kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan, tidak akan ada yang berminat MM2H di Sabah,” katanya.

Namun demikian, Yong yang juga bekas Ketua Menteri Sabah turut menekankan bahawa otonomi Sabah perlu dihormati.

“Begitupun, kerajaan persekutuan perlu menghormati otonomi Sabah mengenai imigresen, warga asing tahu bahawa mereka memerlukan permit imigresen persekutuan untuk memasuki Malaysia, di mana Sabah adalah sebahagian daripadanya.

“Kali terakhir dasar Sabah dan dasar persekutuan tidak sejajar adalah pertikaian mengenai “dine-in” di kedai makan di Sabah menjelang akhir era Covid-19. Pada masa itu (pada Jun 2021), Majlis Keselamatan Negara persekutuan masih belum membenarkan pelanggan makan di kedai kopi dan restoran tetapi Sabah telah mengetepikan dasar persekutuan. Pihak berkuasa tempatan membenarkan kedai kopi dibuka untuk menjamu selera. Tiada penguatkuasaan diambil oleh polis persekutuan dan jabatan kesihatan di Sabah,” ujarnya.

Beliau berkata, ahli perniagaan dan menteri kita harus sedar bahawa MM2H bukanlah perkara kedai kopi.

“MM2H melibatkan pemegang pasport asing yang kita mahu mereka berbelanja sekurang-kurangnya RM600,000.00 setiap sorang di Sabah, membeli hartanah yang tidak boleh dibawa keluar dengan mudah.

“Justeru itu, saya menggesa kerajaan Sabah mengambil segera cadangan program Sabah My Second Home yang tidak memerlukan penglibatan persekutuan.

Terdahulu pada Mei 27, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengeluarkan arahan untuk menggantung operasi semua ejen berlesen yang mengendalikan permohonan MM2H, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew pada Jumaat berkata kementeriannya akan meneruskan MM2H di Sabah walaupun MOTAC gagal memberi mereka kelulusan.

Beliau juga berkata meneruskan program itu di Sabah tidak akan bercanggah dengan undang-undang kerana kementeriannya telah bertemu dengan Jabatan Imigresen, polis serta pihak berkuasa berkaitan untuk meluluskan permohonan di bawah program itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Persekutuan Datuk Seri Tiong King Sing kemudian membidas kenyataan Christina.

Tiong mendakwa Christina atau wakilnya tidak menghadiri mesyuarat yang dipanggil MOTAC untuk membincangkan perkara MM2H untuk Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua penjawat awam minta & terima rasuah RM130,000 ditahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular