HomeUtamaKerajaan Negeri, Persekutuan komited majukan kampung di seluruh Sabah

Kerajaan Negeri, Persekutuan komited majukan kampung di seluruh Sabah

Read Time:2 Minute, 36 Second

Tuaran: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-PH Plus (GRS-PH Plus) komited memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan dalam usaha memajukan kampung-kampung di seluruh negeri ini bagi mencapai pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, semua wakil rakyat di Sabah diseru agar melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan di luar bandar.

Katanya, keterlibatan pemimpin akar umbi dapat membantu menyediakan perancangan pembangunan yang lebih teratur, terselaras serta memenuhi keperluan sebenar rakyat.

“Ini termasuklah bersama-sama menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai agenda dan pelan pembangunan negeri ini. Hala Tuju SMJ adalah untuk memulihkan semula ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kursus Pengurusan dan Pentadbiran JKKK Siri 2/2024 Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dan DUN Pantai Dalit, Tuaran dan Penyerahan Kunci Rumah Mesra SMJ di Grand Ballroom Shangri-La Rasa Ria Resort, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim.

Hajiji berkata, kebajikan rakyat termasuk pemilikan rumah merupakan keutamaan kerajaan menerusi salah satu teras dalam Hala Tuju SMJ. 

Katanya, pelaksanaan Rumah Mesra SMJ sangat bertepatan sekali, untuk mengeluarkan penduduk luar bandar daripada kemiskinan dan memastikan penyediaan rumah mampu milik untuk mereka.

Menurutnya, selain memberi perhatian kepada sektor pertumbuhan utama dan pemulihan ekonomi di Hala Tuju SMJ, kerajaan juga memberi tumpuan kepada teras kedua pelan pembangunan tersebut, iaitu modal insan dan kemakmuran rakyat termasuk memastikan mereka mempunyai rumah.

Tambahnya, bantuan Rumah Mesra SMJ telah dilancarkan pada tahun 2022, membabitkan pembinaan 1,500 buah Rumah Mesra SMJ secara percuma untuk golongan miskin dan miskin tegar khususnya yang tersenarai dalam sistem e-kasih dan mereka yang tidak mempunyai rumah sendiri di 73 kawasan DUN di Sabah.

“Saya sering menekankan bahawa semua dasar dan program kerajaan yang sedang dirancang mestilah berorientasikan kemakmuran rakyat. Golongan miskin tidak boleh dipinggirkan sama sekali,” katanya.

Beliau juga mahu semua JKKK berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan untuk memperkukuhkan keupayaan dan kompetensi sebagai pemimpin dan pentadbir di peringkat paling asas.

Katanya, perpaduan dan kerjasama antara JKKK juga perlu dipelihara dan ditingkatkan untuk menjayakan semua agenda pembangunan yang dirancang oleh kerajaan.

Tambahnya, perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah usaha untuk sentiasa mendekati anggota masyarakat yang dipimpin, bagi mewujudkan persefahaman dan keyakinan rakyat terhadap pemimpin dan kerajaan. Kesepakatan yang dibentuk dapat memastikan semua perancangan dijayakan dengan sempurna dan menghasilkan impak untuk manfaat rakyat.

Sementara itu, Hajiji berkata, Pengerusi JKKK merupakan wakil kepada kerajaan untuk memberikan penerangan dan maklumat yang tepat kepada masyarakat agar tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang cuba memecahbelahkan perpaduan rakyat berbilang bangsa  dan agama di Sabah.

Katanya, memandangkan pihak tertentu sentiasa cuba dan berusaha menafikan setiap pembangunan dan agenda yang dilaksanakan oleh kerajaan, justeru pengerusi dan semua ahli jawatankuasa JKKK memainkan peranan penting membantu kerajaan menepis semua dakwaan yang tidak berasas itu.

Penyerahan Surat Kuasa Enakmen Pentadbiran Luar Bandar (Pindaan) 2023 kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Perbandaran Tawau dan Sandakan serta Pegawai- Pegawai Daerah seluruh Sabah turut diadakan pada majlis itu. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Gagasan Rakyat Likas jadi rakan strategik DBKK bagi penduduk di DUN...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular