HomeUtamaJangan guna, alih peruntukan bina klinik untuk tampung dana pewujudan Pusat Jantung...

Jangan guna, alih peruntukan bina klinik untuk tampung dana pewujudan Pusat Jantung Sabah

Read Time:1 Minute, 45 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diingatkan agar tidak menggunakan atau mengalihkan peruntukan membina klinik di Sabah bagi menampung dana mewujudkan Pusat Jantung Sabah (PJS) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Peringatan itu disuarakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib di sini hari ini.

Katanya, peruntukan sebanyak RM80 juta bagi mewujudkan PJS di Hospital Queen Elizabeth (HQE) II itu seharusnya menggunakan peruntukan baharu yang disalurkan melalui Kementerian Kewangan.

“Saya hairan sebab saya difahamkan bahawa peruntukan sebanyak RM80 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah wang dari klinik kesihatan yang sudah diluluskan dan diambil, disimpan untuk ‘topup’ peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri.

“Jadi, saya minta kepada KKM, mana-mana projek yang telah diluluskan untuk naik taraf ataupun membina fasiliti di Sabah ini jangan lagi diganggu, jangan dikacau. Buatlah yang Perdana Menteri umumkan itu melalui Kementerian Kewangan untuk mencari dana wang membina Pusat Jantung Sabah yang diumumkan RM80 juta itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Klinik Family Care Jalan Pantai, di sini, hari ini.

Katanya yang juga Exco Kesihatan Sabah berkata, adalah tidak adil untuk mengambil peruntukan pembinaan klinik kesihatan yang kemudahannya sangat diperlukan penduduk terutama di luar bandar negeri ini bagi merealisasikan PJS.

Dalam pada itu, James turut menegaskan agar cadangan pewujudan PJS di HQE II dikekalkan dan tidak dipindahkan ke lokasi lain.

Katanya, kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, baru-baru ini mengenai kemungkinan menempatkan PJS di Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) akan melambatkan lagi penyediaan kemudahan itu.

“Matlamat kita memohon institut jantung Sabah ini, pertama memandangkan kewangan kita pada masa ini belum mengizinkan, maka peruntukan sedia ada sebanyak RM80 juta yang diumumkan itu adalah lebih baik untuk kita menambah fasiliti, kemudahan wad pusat jantung kita di HQE II.

“Tapi, baru-baru ini ada pengumuman daripada menteri KKM mengatakan akan mempertimbangkan untuk PJS itu ditempatkan di HUMS.

“Tapi, saya rasa HUMS masih lambat lagi untuk disiapkan, kita tidak tahu bila ia siap sedangkan kemudahan dan fasiliti  jantung ini amat mendesak dan atas sebab itu adalah lebih baik menaik taraf wad HQE II,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Gagasan Rakyat Likas jadi rakan strategik DBKK bagi penduduk di DUN...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular