Kota Kinabalu : Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah melaksanakan satu operasi lawatan pematuhan bersepadu yang dikenali sebagai Operasi Borneo (Ops) Borneo 2.0 peringkat negeri Sabah baru-baru ini.
Operasi yang dilaksanakan selama lima hari bermula 10 Jun lalu itu adalah bertujuan bagi memaksimumkan pematuhan sukarela dan mengoptimumkan operasi organisasi.
Sebanyak lima lokaliti iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Keningau dan Labuan terlibat yang merupakan kesinambungan daripada Ops Borneo 1.0 peringkat negeri Sarawak yang telah dilaksanakan pada 14 Mei yang lalu.
Seramai 260 orang pegawai LHDN seluruh Sabah telah terlibat dalam operasi yang melibatkan aktiviti audit percukaian syarikat dan perniagaan, serahan notis pemakluman sebelum tindakan saman serta audit Potongan Cukai Bulanan (PCB) majikan.
Selain itu, serahan saman dan notis tunggakan, serahan notis gagal patuh kes syarikat (CP204) dan kes individu atau perniagaan (CP500) serta lawatan banci bisnes turut dilaksanakan.
Majlis perasmian disempurnakan Pengarah LHDN Sabah Azrul Hisham Shamsudin.
Ketika berucap, Azrul optimis bahawa operasi lawatan pematuhan ini dapat memberikan kesan positif dari segi kutipan di samping meningkatkan kadar pematuhan dalam kalangan pembayar cukai.
Selain itu katanya, operasi itu juga mampu membantu mengurangkan ketirisan hasil cukai, seterusnya menyumbang kepada kelestarian kutipan hasil negara.
“Penganjuran operasi ini diharap mencapai objektifnya dalam menyokong agenda pembesaran asas cukai serta meningkatkan kadar pematuhan dalam kalangan masyarakat demi pembangunanan dan kesejahteraan ekosistem percukaian negara,” katanya. – SABAH MEDIA