HomeUtamaKPT sokong inisiatif Kerajaan Sabah banteras aktiviti penyambungan paip haram

KPT sokong inisiatif Kerajaan Sabah banteras aktiviti penyambungan paip haram

Read Time:1 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengalu-alukan tindakan Kerajaan negeri dalam membanteras aktiviti penyambungan paip haram yang berleluasa di sekitar kawasan Sepanggar termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, aktiviti penyambungan paip haram itu menjadi antara punca kepada gangguan bekalan air ke UMS.

“Saya mengalu-alukan inisiatif yang dibuat Kerajaan negeri yang telah melipatgandakan usaha untuk mengurangkan penyambungan paip haram dijajaran paip menuju UMS.

“Ini juga menjadi antara sebab kenapa bekalan air bersih ke UMS tidak stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan ‘National Training Week’ (NTW) 2024 di UMS di sini hari ini.

Sementara itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, pihaknya turut meminta agar Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat mendengar segala isu yang disuarakan mahasiswa khususnya melibatkan masalah bekalan air.

“Saya juga mahu agar Kerajaan negeri dan Persekutuan dapat mendengar suara mahasiswa supaya masalah air ini dapat kita baiki kerana ini penting.

“Isu bekalan air ini merupakan perkara asas yang perlu kita selesaikan dan juga masalah jalan raya yang menjadi isu utama kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Sebelum itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk menggunakan undang-undang di bawah bidang kuasanya bagi menghadapkan pesalah pencuri air ke mahkamah.

“Tangkap dan dakwa mereka di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat pasca Kabinet Jabatan Ketua Menteri baru-baru ini.

Begitu juga, beliau berkata kilang-kilang yang didapati mencuri air mesti dihadapkan ke mahkamah dan bukannya hanya mengeluarkan kompaun.

Katanya tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka yang mencuri air kerana sambungan haram telah dikenal pasti sebagai punca utama 60 peratus air tidak terhasil (NRW) di Sabah, yang tertinggi di negara ini.

Menurutnya Kabinet negeri telah memanggil jabatan air untuk taklimat susulan demonstrasi satu kumpulan termasuk pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menuntut isu air itu diselesaikan. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Utama

51 rumah setinggan dirobohkan, 6 PTI ditangkap

Buaya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular