HomeUtamaPerkara belum dilunaskan dalam MA63 pasti ditunaikan

Perkara belum dilunaskan dalam MA63 pasti ditunaikan

Read Time:1 Minute, 17 Second

Tuaran : Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara yang belum ditunaikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan tetap dilaksanakan dibawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid berkata, ia adalah sejajar dengan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menunaikannya seperti yang dijelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Katanya, atas sebab itu, rakyat dan pemimpin di Sabah tidak perlu bimbang terhadap perkara itu kerana beliau yakin Perdana Menteri akan menunaikan janjinya.

“Soal MA63 jangan khuatir, insyaAllah Perdana Menteri tetap akan melaksanakan perjanjian yang belum tercapai dan tertunai.

“Saya juga menyatakan ini dengan cukup jelas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dulu, saya akan melaksanakan mana-mana butiran perjanjian yang belum ditunaikan dan dilunaskan, insyaAllah kita akan lunaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tuaran,di Dewan Sri Sulaman di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, janji adalah ibarat hutang yang wajib dibayar dan Sabah adalah negeri yang layak untuk diberikan ‘pelunasan’ bagi janji berkenaan.

Katanya, Sabah bukan saja layak menerima peruntukan untuk perbelanjaan atau kos bagi pembangunan tetapi lebih penting lagi ia berkaitan dengan soal maruah yang harus dijaga.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, atas sebab itu, beliau komited memastikan masyarakat desa atau luar bandar diberikan keutamaan dalam belanjawan dan Sabah adalah negeri yang menerima peruntukan terbesar.

“Ini bukan kerana Ketua Menteri tetapi saya lihat sendiri apabila saya ke kawasan pedalaman dan kampung serta kawasan masyarakat terpinggir, saya lihat pembangunan luar badar di Sabah mesti diberikan keutamaan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Gagasan Rakyat Likas jadi rakan strategik DBKK bagi penduduk di DUN...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular