HomePolitikAbdul Rahman jawab tuduhan liar keatasnya

Abdul Rahman jawab tuduhan liar keatasnya

Read Time:2 Minute, 45 Second

Kota Kinabalu : UMNO Sabah belum lagi menentukan secara rasmi ‘rakan kerjasama’ bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan selain menyatakan belum ada mesyuarat rasmi yang diadakan oleh UMNO Malaysia mahupun UMNO Sabah.

“Sebagai Timbalan Ketua UMNO Sabah dan ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, saya boleh sahkan bahawa UMNO Malaysia atau UMNO Sabah belum lagi bermesyuarat atau berbincang walau sekali pun untuk menentukan secara rasmi dengan siapa UMNO Sabah akan bekerjasama. 

“Maka arahan Presiden UMNO sejak tahun lalu ialah kepimpinan UMNO Sabah tidak boleh membuat sebarang kenyataan mengenai dengan siapa UMNO Sabah akan berkerjasama dalam pilihanraya negeri akan datang sebelum keputusan rasmi dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rahman turut menyelar tindakan segelintir kepimpinan UMNO Sabah yang membuat kenyataan terbuka berhubung kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan).

Katanya, arahan yang dikeluarkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dilihat tidak diendahkan oleh kepimpinan UMNO Sabah berhubung arahan berkenaan.

“Kenyataan demi kenyataan telah dibuat kononnya UMNO Sabah akan bekerja sama dengan Warisan sedangkan kepimpinan UMNO Malaysia belum membuat sebarang ketetapan rasmi dan UMNO Sabah sendiri belum pun bermesyuarat mengenai isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Sabah bahagian Tuaran berkata, kehadiran Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor ke mesyuarat perwakilan UMNO Tuaran baru-baru ini dibuat oleh UMNO Tuaran bagi menghormati formasi kerjasama kerajaan perpaduan di peringkat nasional.

Katanya, Presiden UMNO juga telah membuat keputusan untuk merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Tuaran beberapa minggu sebelum majlis berlangsung.

“Presiden UMNO , Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga sudah sedia maklum tentang kehadiran Ketua Menteri Sabah dan rombongan sebagai jemputan khas ke mesyuarat UMNO Tuaran.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO kerana masih meneruskan hasrat beliau untuk merasmi mesyuarat perwakilan UMNO Tuaran walaupun beliau mendedahkan ada sesetengah pihak yang menasihati beliau untuk tidak hadir. 

“Selalunya ucapan perasmian dalam mesyuarat perwakilan bahagian dibuat secara terbuka bukan tertutup. Semua orang akan mengetahui apa yang diucap oleh perasmi. 

“Strategi politik sudah tentu tidak akan didedahkan dalam ucapan perasmian dalam majlis terbuka seperti itu,” katanya.

Abdul Rahman berkata, UMNO Tuaran mempunyai hak untuk menjemput tetamu untuk hadir di mesyuarat UMNO Tuaran.

Malah katanya, UMNO Tuaran juga tidak pernah membantah kehadiran pemimpin-pemimpin UMNO Sabah dalam majlis-majlis anjuran parti lain.

“Jemputan untuk kehadiran ke mesyuarat perwakilan UMNO Tuaran telah dipanjangkan kepada semua ketua-ketua bahagian UMNO Sabah melalui ibupejabat UMNO Sabah. Itulah prosedur yang digunakan selama ini oleh UMNO Sabah.

“Tidak timbul soal dua nakhoda dalam UMNO Sabah. Saya tidak pernah mengganggu pentadbiran UMNO Sabah dan tidak pernah menjadikan kedudukan saya sebagai Timbalan Ketua UMNO Sabah sabagai penghalang kepada usaha untuk memperkasakan UMNO Sabah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, sebagai individu yang bertanggungjawab mencadangkan ‘Autonomi UMNO Sabah’  pada tahun 2018, beliau mahu supaya kepimpinan tertinggi UMNO Sabah dibawa berbincang apabila ada keputusan besar dibuat mengenai masa depan UMNO Sabah.

Katanya, ia adalah bagi menjaga masa depan UMNO Sabah dan ia menjadi tanggungjawab bersama semua kepimpinan UMNO Sabah. 

“Saya sebenarnya tidak berminat untuk menceritakan soal dalaman UMNO Sabah secara terbuka melalui media. Tetapi saya akan memberi respon secara berfakta dan terbuka jika ada pihak-pihak yang membuat kenyataan mengelirukan secara terbuka yang tidak mengambarkan realiti sebenar,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
PolitikUtama

Ketua-ketua penerangan peringkat bahagian, jelaskan kejayaan inisiatif kerajaan yang dicapai kepada...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular