HomeUtama33 PATI ditahan dalam operasi bersepadu di Tawau

33 PATI ditahan dalam operasi bersepadu di Tawau

Read Time:2 Minute, 21 Second

Tawau: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menahan seramai 33 individu dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan selama dua hari bermula 27 Jun lalu.

Operasi yang dijalankan sekitar kawasan Jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama di Bandar Tawau itu turut disertai beberapa jabatan dan agensi penguatkuasa keselamatan yang lain.

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata, 33 individu itu ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.

Katanya, sebanyak 143 buah pelbagai jenis pengangkutan laut dan kenderaan turut diperiksa dalam operasi berkenaan.

“Dua individu turut ditahan bahagian siasatan jenayah narkotik daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau selain merampas 5.53 gram dadah jenis methamphetamine dan kesemuanya dibawa ke IPD Tawau untuk saringan ujian air kencing dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Dalam operasi sama, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Tawau Sabah turut menahan seorang individu kerana menyalahi syarat lesen di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan kes diserahkan kepada pihak JPDS untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sementara itu, Victor berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau turut menahan seorang individu serta merampas 160 liter minyak diesel bersubsidi termasuk sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam operasi sama katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga turut menahan seorang individu dan merampas sebanyak 12 liter minuman keras tempatan di bawah Akta Kastam 1967.

“Jumlah anggaran nilai rampasan oleh KPDN dan JKDM ialah sebanyak RM 11,165.50,” katanya.

Dalam pada itu, Victor berkata, selaras dengan kejayaan operasi bersepadu itu, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang menjayakan operasi kali ini.

Katanya, objektif utama operasi yang dijalankan dengan pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasa persekutuan dan negeri itu adalah demi menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

“Selain itu ianya juga bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta mengekang penyusupan PATI.

“Di samping itu,  pihak berkuasa yang terlibat turut menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan-kesalahan lain khususnya di kawasan pintu keluar masuk utama warga asing serta penduduk setempat yang menetap sekitar sempadan antara Malaysia dan Indonesia di Pulau Sebatik, Tawau, Malaysia.

“Kejayaan operasi ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM bagi memperkasa operasi-operasi sedia ada.

“ESSCOM akan terus mempergiat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah di ESS Zone bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah.

“Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM

RELATED ARTICLES
Utama

Gagasan Rakyat Kuamut sertai misi bantuan mangsa banjir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular