Kota Kinabalu : Sebanyak 17 buah sekolah termasuk sebuah sekolah menengah yang terjejas dengan bencana banjir di beberapa buah kawasan di Sabah baru-baru ini menerima bantuan banjir yang disalurkan menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bantuan yang disalurkan kepada sekolah terlibat adalah melibatkan jumlah dana sebanyak RM360,000.
“Hari ini saya bersama Pengarah Yayasan Sabah dan Ahli Jawatankuasa (AJK) TPNS bermesyuarat untuk mempertimbangkan beberapa permohonan berhubung dengan pendidikan.
“Selain itu, TPNS juga telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir yang melibatkan sekolah. Hari ini seramai 17 guru besar dan pengetua hadir mewakili sekolah bagi menerima bantuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan banjir kepada sekolah-sekolah terjejas oleh TPNS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Hadir sama Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar.
Daripada jumlah penerima bantuan, 16 daripadanya adalah Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang masing-masing menerima bantuan berjumlah RM20,000.
Manakala sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) pula menerima bantuan berjumlah RM40,000.
Arifin yang juga Exco Pendidikan berkata, menerusi bantuan itu, pihaknya berharap ianya akan dapat membantu meringankan bebanan sekolah dalam memastikan pengajaran dan pembelajatan (PdP) dapat berjalan lancar selepas pasca banjir.
“Bantuan dari TPNS ini juga merupakan seperti mana yang diminta oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang mahu agar kita menyantuni mereka.
“InsyaAllah kita akan terus membantu dan hari ini kita turut meluluskan beberapa permohonan termasuk permohonan dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) untuk anak-anak kita yang memerlukan cermin mata.
“Lebih kurang ada 5,000 anak-anak kita yang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang memerlukan cermin mata ini. InsyaAllah kita akan bantu berperingkat,” katanya.
Tambahnya, pihaknya juga akan berhubung dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain termasuk Petronas untuk meminta sumbangan berbentuk cermin mata.
Dalam pada itu, Arifin berkata, sehingga kini TPNS telah memperoleh dana sebanyak RM57 juta yang disumbangan pelbagai pihak khususnya GLC di negeri ini.
“Saya ingin merekodkan, kita mengucapkan berbanyak terima kasih kepada para penyumbang yang terdiri daripada GLC dan baru-baru ini TPNS telah menerima RM7.7 juta dan turut disaksikan Ketua Menteri.
“Inilah yang kita manfaatkan, setakat ini kita sudah gunakan kira-kira RM5 juta dan telah dimanfaatkan untuk lebih kurang 5,000 penerima manfaat,” katanya. – SABAH MEDIA