HomeUtamaPatuhi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia, pastikan dana awam digunakan berhemah

Patuhi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia, pastikan dana awam digunakan berhemah

Read Time:1 Minute, 59 Second

Kota Kinabalu : Ketua-ketua jabatan persekutuan di negeri ini diingatkan agar mematuhi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bagi memastikan dana awam digunakan secara cekap dan berhemah.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin berkata, pekeliling yang dikemaskini pada 14 Julai 2022 itu menggariskan beberapa langkah utama antaranya, setiap jabatan dan agensi perlu merancang perbelanjaan dengan teliti serta memberi manfaat yang jelas.

“Selain itu, setiap jabatan juga perlu mengambil langkah-langkah penjimatan dalam penggunaan sumber serta beralih menggunakan teknologi yang lebih efisien terutama elektrik, air, alat tulis dan lain-lain bagi mengurangkan kos operasi.

“Ketua-ketua jabatan perlu mengurus aset-aset kerajaan dan menyelenggara dengan baik agar boleh terus digunakan secara optimum,” katanya.

Beliau berkata berkata pada Mesyuarat Perhubungan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan Negeri Sabah Bil. 2/2024, di sini.

Makhzan turut menekankan agar penjawat awam persekutuan yang melaksanakan kerja-kerja perolehan mengutamakan integriti, ketelusan dan keadilan agar ketirisan dana kerajaan dapat diatasi.

“Berbelanja secara berhemah bukan bermaksud mengurangkan perbelanjaan, tetapi lebih kepada memastikan setiap dana yang dibelanjakan membawa nilai yang maksimum dan memberi impak yang positif kepada rakyat.

“Sebagai usaha mengurangkan kos perbelanjaan penganjuran program jabatan-jabatan kerajaan, pihak saya telah memohon peruntukan melalui Pejabat Belanjawan Negara bagi menaik taraf ruang gunasama Aras 2 Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah berjumlah RM4.1 juta.

“Proses naik taraf secara berfasa ini telah bermula Mac lalu yang melibatkan naik taraf dewan berkapasiti 300 orang, dua bilik mesyuarat setiap satu berkapasiti 70 orang dan dewan makan yang boleh menampung 160 orang dalam satu-satu masa. 

“Naik taraf fasa pertama ini kini sedang berjalan dan dijangka ruang guna sama ini boleh digunakan bermula 16 Julai. Manakala, fasa kedua melibatkan dua bilik seminar berkapasiti 101 orang setiap satu, dua bilik mesyuarat kecil dan empat bilik perbincangan dijangka siap Ogos nanti.

“Semua kemudahan yang dinaik taraf ini boleh digunakan secara tempahan dengan tiada caj perkhidmatan bermakna ianya boleh digunakan tanpa bayaran. Kemudahan ini apabila siap dinaik taraf nanti diharap dapat membantu jabatan atau agensi kerajaan persekutuan untuk menjimatkan kos perbelanjaan terutama penganjuran majlis dan program,” katanya. 

Pada mesyuarat tersebut seramai 109 ketua jabatan dan 50 ketua badan berkanun persekutuan di Sabah hadir bagi mendengar amanat  yang disampaikan Makhzan  serta menyertai sesi perkongsian maklumat, perkhidmatan serta program baharu dari 12 agensi persekutuan dan dua badan berkanun.

RELATED ARTICLES
Utama

Fahami, jayakan Al Falah pemacu Malaysia Madani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular