HomeUtamaUWSS di LRA Kasigui dijangka siap April 2025, bantu atasi masalah bekalan...

UWSS di LRA Kasigui dijangka siap April 2025, bantu atasi masalah bekalan air di Putatan

Read Time:1 Minute, 50 Second

Putatan : Isu bekalan air yang dialami penduduk sekitar daerah ini dijangka dapat ditangani dengan lebih baik apabila projek Skim Bekalan Air Segera (UWSS) yang dilaksanakan di Loji Rawatan Air (LRA) Kasigui Penampang dijangka siap April 2025.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, projek berkenaan dijangka mampu menjana sehingga lima juta liter air sehari (MLD) dan kini sedang giat dilaksanakan bagi menambah kapasiti bekalan air sedia ada yang disasar dapat memanfaatkan lebih 20,000 penduduk.

“Kita berharap bermula April tahun depan masalah air di Putatan dapat diredakan. Sekarangpun, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sedang berusaha untuk meningkatkan tekanan air di Putatan, selain Kota Kinabalu, Tuaran dan Papar.

“Kawasan Ketiau dan Lok Kawi Baharu adalah antara yang kerap berdepan gangguan bekalan air di Putatan ketika ini hingga terpaksa dibuat catuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi PPK Putatan, Datuk Seri Arsit Sedi.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata demikian bagi mengulas perkembangan semasa isu bekalan air di Sabah, khususnya di daerah ini dan utara Kota Kinabalu.

Katanya, apabila siap projek UWSS di LRA Kasigui, ditambah dengan pelaksanaan LRA Kogopon Fasa Dua di Papar berkapasiti 40 MLD yang dijadual siap pada 2026, bekalan air di kawasan selatan Putatan dan utara Papar dijangka dapat distabilkan.

Sementara itu,  Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pemasangan tangki statik yang sudah dilaksanakan di empat kawasan dijangka dapat menyelesaikan masalah kes penyambungan paip haram di kawasan setinggan khususnya di Sepanggar.

Katanya, tangki statik itu bagi menyelesaikan kesukaran penghuni setinggan memohon meter bagi penyambugan air secara sah berikutan status tanah yang bukan milik mereka.

“Harapan kita apabila tangki statik ini beoperasi maka setinggan tempatan kawasan terbabit boleh dapat air dari tangki itu dan tidak melakukan atau mendapat air melalui sambungan haram sebagaimana yang kerap berlaku sebelum ini

“Dengan itu kita dapat meminimakan sambungan haram di paip utama yang mengganggu bekalan ke tangki-tangki utama sebelum disalurkan ke kawasan sekitarnya dan ini adalah usaha yang berterusan,” katanya.

Katanya, bekalan air kepada penghuni setinggan melalui tangki statik itu pula dikenakan bayaran seperti pengguna JANS yang lain melalui sistem prabayar yang akan diperkenalkan kemudian. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular