HomeUtamaFahami, jayakan Al Falah pemacu Malaysia Madani

Fahami, jayakan Al Falah pemacu Malaysia Madani

Read Time:2 Minute, 11 Second

PAPAR:   Rakyat perlu memahami dan menjayakan saranan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu ‘AI-falah Pemacu Malaysia Madani’.

Tema tersebut amat relevan dan selari dengan tuntutan semasa memandangkan azan solat yang dikumandangkan lima waktu setiap hari mengajak seluruh umat Islam supaya menuju atau mencapai kemenangan dan kejayaan menerusi kalimat ‘Hayya ‘Alal Falah’.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkata, pengertian al-falah yang diterjemahkan dalam kehidupan berupaya menjadi sumber kekuatan ummah Madani dengan masa depan yang lebih cemerlang.

“Apabila kalimat al-falah difahami dan dihayati sehingga maksud dan tuntutannya dapat diterjemahkan dalam realiti kehidupan, ia akan menjadi sumber kekuatan serta pembakar semangat bagi memacu aspirasi Malaysia Madani yang mengarah kepada mewujudkan keadaan dan suasana kehidupan masa hadapan yang lebih baik dan cemerlang.

“Sesungguhnya kejayaan sesebuah negara tidak dicapai dalam sehari, tetapi melalui usaha yang berterusan dan komitmen semua pihak dari kepimpinan yang berwawasan hingga kepada penglibatan aktif rakyat. 

“Setiap elemen memainkan peranan penting, terutama dalam memacu kejayaan negeri mahupun negara. 

“Dengan menggabungkan kekuatan dalam pelbagai aspek, sesebuah negara boleh mencapai kejayaan yang mampan serta menyeluruh dan memastikan kesejahteraan serta kemakmuran rakyat dapat dicapai.

“Justeru, tuntutlah ilmu, tanamkan usaha, iringi dengan doa dan bertawakkallah kepada Allah untuk menuai kejayaan di masa akan datang,” katanya.

Tun Juhar berkata demikian dalam perutusan sempena Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024M di Dewan Masyarakat Papar, di sini hari ini

Tun Juhar percaya kehadiran umat Islam ke majlis itu bukanlah sekadar ingin menjayakan majlis semata-mata, tetapi yang lebih penting adalah semangat dan iltizam ummah untuk mengukuhkan lagi ukhuwah Islamiah sekaligus usaha memantapkan perpaduan ummah yang tidak sunyi daripada gugatan gejala perpecahan. 

“Iltizam serupa ini adalah antara nilai mulia yang dapat menyemarakkan semangat Maal Hijrah untuk melakukan perubahan serta pembaharuan dari semua aspek demi mencapai sesuatu yang lebih baik dan bermakna di Sisi Allah SWT. 

“Allah SWT mengurniakan kebajikan serta pahala bagi setiap niat yang mengarah kepada kebaikan meskipun kebaikan yang diniatkan itu belum lagi dilaksanakan sebagaimana mafhum surah anNisaa’ ayat 100.

“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang luas dan rezeki yang banyak; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di Sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

“Maka dengan amanat ini, saya mengharapkan serta mendoakan semoga rakyat negeri ini terus bersatu padu dan menikmati kemajuan di bawah lembayung gagasan Malaysia Madani dan Sabah Maju Jaya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Angin kencang landa Semporna, 35 rumah dan 20 kenderaan terjejas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular