HomeUtamaKebudayaan & kesenian akan terus dimartabatkan di Sabah

Kebudayaan & kesenian akan terus dimartabatkan di Sabah

Read Time:1 Minute, 22 Second

KOTA MARUDU: Kerajaan negeri sentiasa komited dan terus berusaha memartabatkan warisan kebudayaan serta kesenian rakyat berbilang kaum di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sehubungan itu beliau berkata kerajaan negeri amat menyokong usaha dalam mengembangkan dan mempertahankan budaya serta kesenian setiap etnik menerusi persatuan masing-masing agar warisan budaya berharga ini berkekalan.

“Seperti Festival Kebudayaan Rungus ini, ia mampu menjadi medan untuk mengetengahkan budaya dan seni daripada masyarakat Rungus di negeri ini. Ia termasuklah dalam aspek pakaian tradisi, kraftangan dan tarian Mongigol Sumundai untuk tatapan generasi muda masa kini, agar ianya tidak pupus ditelan zaman.

“Justeru, kita amat menggalakkan penganjuran program seperti ini untuk memartabatkanseni dan budaya rumpun etnik Rungus di negeri ini.

“Kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada persatuan dan pertubuhan kumpulan etnik untuk memelihara kebudayaan masing-masing,” katanya sempena Festival Kebudayaan Rungus Peringkat Negeri Sabah di Dewan Kebudayaan Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS), Simpang Teringai, di sini baru-baru ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir Festival Kebudayaan Rungus ini telah mula dianjurkan oleh PRBS sejak tujuh tahun yang lalu di Pantai Teringai, Kota Marudu.

Dalam pada itu, beliau berkata program seperti ini juga penting diadakan setiap tahun bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

“Kita perlu ingat bahawa hanya dengan kestabilan dan perpaduan sahajalah yang mampu membawa sesebuah negara dan rakyatnya maju ke hadapan, sekali gus dihormati dan disegani oleh masyarakat antarabangsa.

“Oleh itu, saya merakamkan tahniah kepada Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah kerana sejak ditubuhkan pada tahun 2015, persatuan ini telah bergerak aktif dan memainkan peranan yang penting dalam memelihara kebudayaan etnik Rungus,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Gagasan Rakyat Likas jadi rakan strategik DBKK bagi penduduk di DUN...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular